PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa semua petugas jabatan dan agensinya akan terus melaksanakan tugas sebagai penjawat awam yang profesional.
Ketua Setiausahanya, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pihaknya sentiasa gigih mengambil pendekatan yang diamanahkan seperti termaktub Perlembagaan Persekutuan.
“Sehubungan itu, pihak kementerian akan memastikan segala pengurusan dan pentadbiran awam terus berjalan lancar dan tidak terganggu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau merujuk kenyataan bertajuk ‘Tekad Perkhidmatan Awam’ yang disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali hari ini mengenai situasi politik semasa tanah air.
Ia susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dan semua ahli jemaah Kabinet, termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sendiri.
Kementerian ditubuhkan sejak 1955 itu, ketika ini memiliki hampir 200,000 petugas pelbagai jabatan dan agensi antaranya pasukan polis, penjara, imigresen, maritim, antidadah dan Rela.
Mengulas lebih lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, kementerian berkenaan tetap memainkan peranan dalam usaha menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di seluruh negara.
“Juga tanggungjawab sebagai barisan hadapan bagi menangani pandemik Covid-19 yang terus dilaksana terutama penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard,” tegasnya.
Semua perancangan, operasi dan perkhidmatan ujarnya, yang meliputi dasar, pelaksanaan proses pembangunan, vaksinasi dan Pelan Pemulihan Negara sentiasa dipastikan lancar.
Warga kementerian tersebut tambah beliau, juga akan memastikan setiap peranan yang telah dipertanggungjawabkan akan terus dilakukan semua petugas dengan sebaik mungkin. – UTUSAN










