SHAH ALAM: Sosioekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menjadi tanggungjawab pertama yang perlu diselesaikan supaya mereka dapat keluar daripada krisis dan kembali kepada kehidupan sebelum ini.
Perkara itu dimaklumkan Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang baharu dilantik ke jawatan bertaraf Menteri itu.
Beliau berkata, buah fikiran terhadap beberapa perkara berkaitan itu akan disampaikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya dasar-dasar kerajaan dapat diperkasakan.
“Saya harap dapat membantunya memberikan nasihat serta idea bernas supaya sosioekonomi kembali dalam keadaan terbaik.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan ini,” katanya kepada pihak media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Faizal dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri dengan skop tugasnya adalah untuk menasihat Perdana Menteri dari segi hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.
Sementara itu, beliau berpendapat beberapa sektor ekonomi perlu dibuka secara berperingkat supaya rakyat kembali mendapat pendapatan semula.
Namun Ahmad Faizal berharap kerajaan dapat memperkenalkan pelan atau langkah strategik supaya jumlah kes Covid-19 tidak meningkat apabila sektor tersebut dimulakan semula.
“Segala keluhan rakyat akan saya dengar dan akan disampaikan kepada Perdana Menteri.
“Insya-Allah, Kerajaan Pusat akan melakukan sebaik mungkin untuk mengatasi masalah pandemik Covid-19 serta ekonomi yang kini membelenggu negara,” katanya.









