'Saya mohon maaf' - Sanusi - Utusan Malaysia

‘Saya mohon maaf’ – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor bertanyakan sesuatu kepada petugas di PPV Outreach IPT di UUM. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini memohon maaf di atas ketelanjurannya bergurau mengenai isu kontena sejuk beku penyimpanan jenazah pesakit Covid-19 yang menjadi kontroversi semalam.

Beliau menjelaskan, jenakanya itu telah diambil di luar konteks ketika beliau tidak berniat untuk bergurau dengan semua orang.

Sebaliknya katanya, gurauan itu hanya ditujukan kepada golongan wartawan di negeri ini yang telah dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga dalam kerjayanya.

“Saya ini suka bergurau, tetapi gurauan semalam itu agak kasar. Jadi saya nak maklumkan bahawa saya bergurau dengan wartawan yang telah dianggap sebagai ahli keluarga dan adik-adik saya.

“Mereka (wartawan) tahu bagaimana karakter saya yang suka bergurau. Tetapi oleh kerana ada pihak tersinggung dan terasa hati dengan gurauan itu, saya ambil kesempatan ini untuk memohon maaf,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UUM, Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani serta Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo.

Pada sidang akhbarnya di PPV Mega Amanjaya Sports Arena di Sungai Petani dekat sini semalam, Muhammad Sanusi berjenaka dengan menyatakan jumlah kontena penyimpanan mayat di Kedah mencukupi dan meminta sesiapa yang hendak ‘masuk’ ke dalamnya memberikan nama.

Klip video kenyataannya itu tular di seluruh negara dan mengundang kecaman di media sosial apabila orang ramai yang mendakwa kenyataan sedemikian tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin.

Muhammad Sanusi berkata, beliau banyak menerima mesej yang mencela dirinya sejak klip video itu ditularkan semalam.

“Kerana jenaka itu, semua kerja-kerja baik yang dilakukan selama ini seakan ‘hilang’. Tetapi tak mengapalah, saya tetap sayang semua,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengatakan beliau telah membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor iaitu model sama yang didakwa dilihatnya di Autocity Juru, Pulau Pinang sebelum ini.

“Kenderaan itu bukan milik saya, sebaliknya milik seorang kenalan yang menawarkan kepada saya untuk menyewa kenderaan itu. Tetapi sehingga kini, masih belum ada keputusan pun sama ada saya hendak sewa atau tidak.

“Dakwaan kononnya kenderaan itu diletakkan di pusat khidmat wakil rakyat (PKWR) saya juga tidak benar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya