'Saya cemas, tak mampu buat apa-apa selain azan' - Utusan Malaysia

‘Saya cemas, tak mampu buat apa-apa selain azan’

ZAHIDA Mayadi menunjukkan keadaan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin semalam ketika ditemui di Kampung Bukit Putus, Jalan Kubu Gajah-Semanggol di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seorang ibu tunggal dan lima anaknya melalui detik cemas dalam kejadian ribut Kampung Bukit Putus, Jalan Kubu Gajah, Gunung Semanggol dekat sini petang semalam.

Mereka merupakan antara tujuh penduduk yang mengalami kerosakan rumah akibat ribut namun kejadian tidak menyebabkan kecederaan kepada penduduk.

Zahida Mayadi, 40, berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3.30 petang ketika dia bersama anak-anaknya berada di rumah.

Menurutnya, ketika itu dia berada dalam bilik tidur dan apabila mendengar bunyi deruan angin yang kuat, dia segera ke bahagian ruang tamu dan membuka tingkap untuk melihat keadaan di luar.

Katanya, angin datang dari arah depan rumah seperti puting beliung yang menerbangkan daun-daun kering menuju ke arah rumahnya.

“Saya cemas, tidak mampu berbuat apa-apa selain melaungkan azan. Tidak lama kemudian, saya terdengar terdengar bunyi dentuman yang kuat di bahagian bumbung rumah, membuatkan saya cemas.

“Sebahagian bumbung rumah diterbangkan ke arah belakang rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, dalam suasana cemas itu, dia segera memanggil semua anaknya dan berlindung di rumah jiran.

“Kami segera keluar dari rumah kerana khuatir pokok kelapa di belakang rumah tumbang ke rumah kami,” katanya.

Seorang lagi mangsa ribut, Zool Din, 40, berkata, ribut turut menerbangkan bumbung bahagian dapur rumah sewa yang didudukinya bersama keluarganya.

Katanya, ketika kejadian dia tiada dirumah kerana bekerja di Batu Lima di Parit Buntar dan dia segera pulang setelah diberitahu oleh isterinya mengenai ribut yang melanda kampung mereka.

Katanya, ketika itu dia hanya memikirkan keselamatan anak dan isterinya namun bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kecederaan.

“Bahagian dapur rumah basah menyebabkan beberapa peralatan rumah terjejas disebabkan bumbung diterbangkan angin,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada tuan rumah dan pemiliknya bersetuju kerosakan dibaik pulih dan kosnya ditolak bayaran sewa.

“Saya bekerja sebagai buruh binaan rumah dan baru mula kerja disebabkan Covid-19, sudah tentu saya tiada wang yang cukup untuk kos membaiki kerosakan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN