Honda CB1000 SP: Supernaked Jepun paling berbaloi!

Honda CB1000 SP: Supernaked Jepun paling berbaloi!

TEMPAT duduk yang ergonomik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIKI sebuah motosikal berkuasa tinggi, bukan satu keputusan yang boleh dibuat secara tergesa-gesa. 

Selain minat dan keinginan, pelbagai faktor lain perlu diambil kira seperti kos pemilikan, penggunaan harian, bayaran bulanan serta tahap praktikaliti sesebuah motosikal itu dalam kehidupan sebenar.

Namun begitu, bagi penulis sendiri, ada sebuah motosikal yang pernah ditunggang uji sebelum ini yang masih kekal segar dalam ingatan. 

Ia bukan kerana angka kuasa yang terlalu ekstrem atau rekaan yang cuba mencuri perhatian, sebaliknya kerana keseimbangan keseluruhan yang ditawarkan membuatkan motosikal ini terasa sangat masuk akal untuk dimiliki. 

Motosikal tersebut ialah Honda CB1000 SP.

 

Reka bentuk: Ringkas, kemas dan matang

Dari sudut rekaan, Honda CB1000 SP tampil dengan pendekatan yang ringkas tetapi cukup berkarakter. 

Ia tidak cuba menjadi supernaked paling garang di atas jalan raya, sebaliknya memilih rekaan yang kemas dan matang, sesuai dengan imej motosikal berprestasi tinggi yang realistik untuk kegunaan harian.

Jika dilihat dengan lebih dekat, rekaan tangki yang berotot, garis badan yang bersih serta lampu hadapan LED yang tajam sudah cukup untuk menyerlahkan identiti streetfighter moden. 

Tambahan pula, versi SP jelas menampilkan aura lebih premium melalui penggunaan suspensi Öhlins di bahagian belakang, fork Showa Big Piston Fork di hadapan serta kaliper brek hadapan dari Brembo, yang bukan sahaja menaikkan nilai visual, tetapi turut memberi keyakinan dari sudut prestasi.

 

Enjin: Kuasa besar, tapi jinak

Honda CB1000 SP dikuasakan enjin 999cc inline-four yang mempunyai kaitan rapat dengan DNA model superbike Honda CBR1000RR Fireblade, namun talaannya telah disesuaikan untuk kegunaan jalanan. 

Sepanjang tunggang uji, apa yang paling ketara bagi penulis ialah karakter enjin yang sangat linear dan mudah dikawal.

Pada kelajuan rendah, enjin ini terasa jinak dan tidak mendadak, sekali gus memudahkan tunggangan dalam trafik bandar. 

Dalam masa yang sama, apabila throttle dipulas dengan lebih agresif, kuasa tetap hadir dengan padu dan meyakinkan, cukup untuk mengingatkan bahawa ini adalah sebuah motosikal kelas liter, tetapi tanpa menimbulkan rasa menakutkan.

Ergonomik: Selesa dan relaks untuk kegunaan harian

Sebagai sebuah naked bike, Honda CB1000 SP menawarkan posisi tunggangan yang jelas lebih selesa dan relaks berbanding motosikal supersport

Handlebar yang lebar, kedudukan tempat duduk yang ergonomik serta posisi kaki yang neutral menjadikan motosikal ini mudah dikendalikan dalam pelbagai situasi.

Bagi penulis, ergonomik ini memainkan peranan besar dalam menjadikan CB1000 SP sebuah motosikal yang tidak meletihkan untuk ditunggang dalam tempoh lama, sama ada untuk ulang-alik harian mahupun tunggangan santai pada hujung minggu.

 

Kegunaan atas jalan: Lincah, stabil dan yakin

Dalam kegunaan jalan dalam bandar, bagi penulis CB1000 SP terasa sangat ringan dan agak lincah. Walaupun menggunakan enjin 1000cc, motosikal ini mudah dikawal dan tidak terasa besar atau berat ketika bergerak perlahan. 

Respons throttle yang lancar serta imbangan casis yang baik membantu menjadikan tunggangan lebih santai dan terkawal dalam trafik sesak. Apabila dibawa ke lebuh raya, rintangan angin sememangnya wujud seperti yang dijangka daripada sebuah naked bike

Namun begitu, kedudukan tunggangan membolehkan penunggang mudah untuk tunduk sedikit, sekali gus mengurangkan tekanan angin dan membuatkan tunggangan pada kelajuan tinggi masih terasa stabil dan selesa.

Sementara itu, di kawasan B-road atau laluan berselekoh, CB1000 SP benar-benar menunjukkan kelebihannya. 

Casis yang seimbang digabungkan dengan suspensi berkualiti tinggi memberikan keyakinan ketika masuk selekoh dan keluar selekoh, tanpa memerlukan banyak pembetulan daripada penunggang. 

Bagi penulis, ini antara aspek paling menyeronokkan sepanjang tunggang uji.

 

Ciri dan teknologi: Fleksibel ikut gaya penunggang

Dari sudut teknologi, Honda CB1000 SP dilengkapi dengan beberapa riding modes yang boleh dipilih mengikut situasi dan gaya tunggangan. 

Selain mod sedia ada seperti Standard, Sport dan Rain, motosikal ini turut menawarkan custom riding mode yang membolehkan penunggang melaras tahap kuasa, traction control dan engine brake mengikut keperluan sendiri.

Pendekatan ini menjadikan CB1000 SP sebuah motosikal yang fleksibel, sesuai untuk penunggang yang mahukan tunggangan santai dan dalam masa yang sama mampu disesuaikan untuk tunggangan lebih agresif apabila diperlukan. 

Paparan digital pula jelas dan mudah difahami, menjadikan semua tetapan ini senang diakses.

 

Praktikaliti: Supernaked yang realistik

Satu daripada kekuatan utama CB1000 SP ialah tahap praktikalitinya. Pengurusan haba enjin adalah baik, karakter enjin yang jinak memudahkan penggunaan harian dan ergonomik yang selesa menjadikan motosikal ini sesuai untuk kegunaan sebenar di jalan raya.

Bagi penulis, ini bukan motosikal yang hanya sesuai untuk dipamerkan atau ditunggang sekali-sekala, tetapi sebuah jentera yang masih masuk akal untuk dimiliki dan digunakan secara konsisten.

 

Apa yang boleh ditambah baik?

Walaupun CB1000 SP hadir sebagai sebuah pakej yang hampir lengkap, ada satu perkara yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh Honda, khususnya untuk pasaran Malaysia. 

Di pasaran luar negara, Honda menawarkan varian standard selain varian SP, namun di Malaysia, hanya varian tertinggi iaitu SP sahaja ditawarkan.

Jika varian standard turut dibawa masuk, ini berpotensi menjadikan CB1000 antara supernaked Jepun paling berbaloi untuk sesetengah pengguna, terutamanya bagi mereka yang tidak terlalu mementingkan komponen atau aksesori premium, tetapi masih mahukan enjin 1000cc dan karakter tunggangan yang seimbang.

 

Harga dan nilai: Sukar ditandingi

Dengan harga bermula RM69,999, Honda CB1000 SP menawarkan nilai yang sangat menarik. Pada harga sekitar RM70,000, pembeli sudah boleh mendapatkan sebuah supernaked dengan enjin 1000cc, komponen premium serta tahap praktikaliti yang tinggi.

Sebagai sebuah naked bike, ergonomiknya yang selesa dan relaks menjadikannya lebih sesuai untuk kegunaan harian berbanding motosikal supersport, sekali gus menjadikan pelaburan ini terasa lebih berbaloi.

 

Kesimpulan: Supernaked yang penulis akan pilih

Akhirnya, selepas menilai dari pelbagai sudut, bagi penulis, Honda CB1000 SP ialah antara contoh terbaik bagaimana sebuah motosikal kelas liter sepatutnya dibangunkan. 

Ia tidak bergantung kepada angka kuasa semata-mata atau rekaan agresif untuk memikat pembeli, sebaliknya menawarkan keseimbangan yang sukar dicari dalam segmen supernaked.

Apa yang benar-benar membezakan CB1000 SP ialah cara ia membuatkan penunggang cepat serasi dengannya. 

Walaupun ini sebuah motosikal berkuasa tinggi, pengalaman panjang Honda dalam pembuatan motosikal jelas dirasai melalui karakter enjin yang jinak, ergonomik yang selesa serta pengendalian yang mudah difahami sejak tunggangan pertama. Ia sebuah motosikal yang memberi keyakinan, bukan tekanan.

Jika diberi pilihan, penulis secara peribadi lebih cenderung memilih CB1000 SP berbanding supernaked lain yang mungkin lebih ekstrem tetapi menuntut kompromi besar dari segi keselesaan dan praktikaliti. 

Dengan harga sekitar RM70,000, apa yang ditawarkan terasa jujur dan seimbang, enjin 1000cc, komponen premium, teknologi yang membantu serta kegunaan harian yang realistik.

Kesimpulannya, Honda CB1000 SP bukan supernaked paling bising atau paling garang, tetapi ia mungkin antara yang paling matang dan paling masuk akal untuk dimiliki. 

Dan untuk penunggang yang mahukan motosikal berkuasa tinggi yang masih mudah untuk hidup bersama setiap hari, inilah jenis supernaked yang penulis akan pilih tanpa ragu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×