PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Ir. Izham Hashim hari ini bagi menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung isu penternakan babi di Kuala Langat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Sharafuddin berkenaan isu tersebut melalui kenya-taan media, semalam.
Katanya, MMKN terdahulu telah mengambil keputusan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di Selangor diperketat berasaskan keutamaan pengurusan sisa lebih bertanggungjawab supaya tidak memberikan kesan negatif terhadap sistem saliran.
“Keputusan mengambil kira semua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan belasan tahun.
“Inisiatif ini penting memelihara keadaan kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran serta mengelakkan pencemaran bau supaya industri ini dapat beroperasi secara lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri membenarkan operasi peternakan babi secara besar-besaran di negeri ini membabitkan operasi peternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada 2030.
Amirudin berkata, seperti diperincikan Izham dalam sidang akhbar pada 8 Januari lalu, langkah diambil merupakan inisiatif lebih tersusun dalam rangka usaha memastikan isu sensitif ini ditangani secara berhemah, menyeluruh serta berkesan dalam menangani isu alam sekitar. – UTUSAN








