‘Saya bukan diturunkan pangkat’ - Takiyuddin - Utusan Malaysia

‘Saya bukan diturunkan pangkat’ – Takiyuddin

TAKIYUDDIN Hassan memasang Jalur Gemilang pada kereta orang ramai di depan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak menganggap dirinya diturunkan pangkat selepas dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dalam Kabinet baharu diumumkan Perdana Menteri semalam.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu sebaliknya menegaskan pertukaran portfolio sudah menjadi kebiasaan setiap kali lantikan baharu dalam sesebuah kerajaan.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai strategi dan perancangan sendiri apabila membuat pengubahsuaian barisan Kabinet.

“Saya tidak pernah menganggap isu mengenai kenyataan pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat di Parlimen bulan lalu menjatuhkan imej sendiri.

“Meskipun saya bukan dalam bidang teknikal, portfolio baharu ini (Menteri Tenaga dan Sumber Asli) turut melibatkan perundangan terutamanya dalam isu tanah.

“Insya-Allah, saya yakin akan terus mendapat sokongan semua pihak. Setiap menteri baharu dilantik perlu mempunyai perancangan dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu di sini hari ini.

Takiyuddin merupakan salah seorang daripada lima ahli Parlimen dan Senator dari Kelantan yang dilantik sebagai menteri dalam Kabinet diumumkan Perdana Menteri semalam.

Portfolio lama Takiyuddin iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) kini diambil alih Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang sebelum ini merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN