BAGAN DATUK: Polis menahan seorang sami hari ini bagi membantu siasatan mengenai satu video tular upacara keagamaan sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah rumah di Selekoh, Rungkup di sini.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada pukul 10.20 pagi dan polis turut merampas sebatang rotan berikat kain merah yang dipercayai digunakan dalam upacara tersebut.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh abang kepada seorang individu yang turut serta dalam ritual berkenaan.
Katanya, ritual tersebut dijalankan di sebuah kuil di belakang rumah adik lelakinya pada pukul 7 malam kelmarin.
“Laporan polis dibuat lelaki berusia 57 tahun itu bagi tujuan siasatan dijalankan berkenaan ritual oleh sami terbabit adakah dengan niat sengaja untuk mencederakan keluarga adiknya.
“Kita membuka kertas siasatan kes tersebut yang mana siasatan merangkumi setiap aspek di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ahmad Adnan memberitahu, pihaknya telah memanggil semua saksi yang berada di tempat kejadian iaitu adik pengadu bersama isteri dan empat anak mereka untuk siasatan.
Katanya, berdasarkan siasatan, lelaki berusia 54 tahun itu memaklumkan bahawa upacara sembahyang itu diadakan bagi membuang badi sial yang ada dalam keluarga mereka.
“Semasa ritual diadakan, hanya pengadu bersama lima ahli keluarga dan seorang anak angkat iaitu suspek berada di kuil berkenaan tanpa kehadiran pihak lain.
“Semasa upacara tersebut, sami terbabit telah membacakan mantera sebelum menggunakan sebatang rotan panjang lalu memukul badan pengadu, isteri dan anak lelakinya. Ketiga-tiga mereka cedera dan bengkak di beberapa bahagian badan,” katanya.
Menurut beliau, lelaki terbabit juga telah membuat laporan polis bagi mengelak salah faham orang ramai berkenaan ritual yang dilakukan.
“Lelaki terbabit memaklumkan upacara itu dilakukan dengan rela hati dan dijalankan oleh sami iaitu anak angkatnya sendiri yang telah bersama mereka sejak enam tahun lalu.
“Hasil semakan rekod lampau ke atas sami itu mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah selain ujian saringan air kencing juga negatif,” katanya. – UTUSAN ONLINE