Rasa dianaktirikan: Pembangkang kritik Exco Kesihatan Perak - Utusan Malaysia

Rasa dianaktirikan: Pembangkang kritik Exco Kesihatan Perak

NGA Kor Ming semasa perbahasan titah perasmian diraja pada sidang DUN Perak di Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Exco Kesihatan Perak, Mohd. Akmal Kamaruddin terus dikritik oleh pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana didakwa lemah menjalankan peranannya menangani isu berkaitan Covid-19.

Nga Kor Ming (DAP-Aulong) ketika perbahasan titah perasmian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini membangkitkan mengenai rasional pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah konsep Gelembung Persidangan DUN apabila beliau diletakkan di dalam ruangan tambahan iaitu bilik khas bersama dua bekas menteri besar dan bukannya di kamar utama Dewan.

Menurutnya, tindakan itu ibarat menganaktirikan beliau dan dua bekas menteri besar iaitu Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut ditempatkan di ruangan tambahan yang sama.

Beliau berkata, sepanjang 21 tahun menganggotai Dewan negeri, ini kali pertama beliau tidak dibenarkan masuk ke kamar utama.

“Di bilik ini ada dua bekas menteri besar, dua bekas Exco, ada ketua wanita dan ketua WHIP parti. Kami rasa terpinggir tak dapat masuk kamar utama, seolah-olah dianaktirikan.

“Saya nak tanya Exco Kesihatan, mengapa pada hari perasmian dewan semalam, semua ADUN boleh masuk ke dalam kamar utama lebih tiga jam. Adakah Covid-19 bercuti pada hari pertama (sidang DUN) dan hanya bekerja dan berjangkit pada hari kedua?

“Di manakah rasionalnya (ADUN diletakkan dalam bilik khas), dan saya tidak tahu mengapa SOP seperti ini dilaksanakan.

“Saya sokong pandangan bekas Menteri Besar, ADUN Pangkor (Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir) semalam mengadu beliau dianaktirikan oleh Exco Kesihatan. Exco Kesihatan sila jawab, jangan lari dari tanggungjawab,” katanya.

Sidang DUN Perak kali ini memperkenalkan konsep Gelembung berikutan Covid-19.

Konsep itu merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, penyediaan pengangkutan, ruang tambahan persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terbabit persidangan.

Ruang utama dewan menempatkan 39 ADUN manakala baki 20 ADUN lagi ditempatkan di empat ruang tambahan.

Semalam, Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai) mempertikaikan kredibiliti Mohd. Akmal yang didakwa lemah menjalankan peranannya dalam menangani isu berkaitan pandemik Covid-19.

Kar Hing berkata, penglibatan aktif Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam program berkaitan kesihatan dan vaksinasi juga dilihat lebih menonjol berbanding Mohd. Akmal selaku Exco Kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN