KANGAR: Masyarakat perlu lebih terbuka dan bersedia dalam berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 yang dijangka berlarutan dalam tempoh lama.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pada masa ini, masih banyak negara lain juga tidak mengisytiharkan bahawa mereka telah bebas sepenuhnya daripada pandemik tersebut.
Titah baginda, selain Malaysia, beberapa negara ASEAN yang berjiran dengan Malaysia juga terus bergelut dengan peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 kebelakangan ini.
“Kita juga sedar bahawa dalam tempoh 18 bulan yang lalu, kita sudahpun sama-sama menempuhi empat atau lebih gelombang Covid-19 di negara ini dan di seluruh dunia.
“Justeru, pendekatan yang terbaik adalah dengan memastikan seluruh dunia bekerjasama dalam menjalankan program vaksinasi masing-masing supaya imuniti kelompok berjaya dibentuk.
“Walaupun begitu, sehingga saat tersebut, varian baharu akan terus muncul dari masa ke semasa secara berkala dan akan memberikan lebih banyak cabaran kepada kita dan juga dunia,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan bantuan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada
seorang asnaf di Jalan Kelab Golf Putra di sini,hari ini.
Saad Khamis, 74, yang merupakan bekas anggota kerahan Tentera Darat Malaysia menghidap penyakit darah tinggi dan merupakan salah seorang penerima bantuan fitrah MAIPs dan bantuan rumah MAIPs.
Yang hadir sama mengiringi baginda Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd Noor.
Sementara itu, menyentuh situasi semasa Covid-19 di Perlis yang merekodkan 61 kes baharu semalam, baginda menasihatkan seluruh masyarakat memainkan peranan masing-masing sebagai rakyat bermentaliti kelas pertama dalam tindakan dengan memastikan mereka tidak mendedahkan diri dengan risiko jangkitan wabak tersebut.
“Berusaha sedaya upaya mengelakkan diri daripada berada di tempat yang sesak dan terkurung dalam tempoh masa yang lama selain sentiasa elakkan bersembang dengan rakan-rakan di dalam jarak yang dekat walaupun memakai pelitup muka,” titah baginda.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim terus menyarankan seluruh masyarakat menerima suntikan vaksin bagi meningkatkan sistem pertahanan badan masing-masing.
Katanya, pada masa ini, jangan diadakan sebarang perhimpunan keluarga atau kenduri bagi mengelak risiko jangkitan tersebut.
“Semoga dengan langkah-langkah ini, kita dapat mengelakkan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga tersayang, rakan sekerja dan jiran tetangga,” katanya. – UTUSAN ONLINE










