Pulau Pinang pastikan PICK tetap berjalan walaupun Kerajaan Pusat bertukar - Utusan Malaysia

Pulau Pinang pastikan PICK tetap berjalan walaupun Kerajaan Pusat bertukar

CHOW Kon Yeow ketika meninjau Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Gurney Paragon, Georgetown, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan kerjasama dengan agensi berwajib bagi memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini tidak terganggu walaupun berlaku perubahan kepemimpinan di peringkat Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya juga akan memastikan apa yang telah ditetapkan untuk rakyat Pulau Pinang bagi program PICK itu dapat dicapai.

“Memandangkan sudah jadi kenyataan (perletakan jawatan Perdana Menteri), saya percaya kenyataan yang diberikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Mohd. Zuki Ali amat jelas dalam tempoh ini.

“Perkhidmatan awam tidak akan terjejas pada masa ini, dan mereka akan teruskan perkhidmatan melalui pimpinan KSU setiap kementerian dan jawatankuasa sedia ada,” katanya selepas meninjau Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Gurney Paragon, di sini hari ini.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan pengumuman itu dibuat selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara berhubung kedudukannya sebagai ketua kerajaan.

Selain Muhyiddin, seluruh Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut meletak jawatan.

Menurut Kon Yeow, beliau dimaklumkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) juga akan bermesyuarat hari ini walaupun Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan semalam.

“Ia menunjukkan perkhidmatan di dalam kerajaan masih berjalan dan kita memang berharap pergolakan politik tidak menjejaskan PICK.

“Kita perlu memastikan negara berjaya mencapai imuniti kelompok seperti dalam tempoh yang disasarkan sebelum ini bagi menangani wabak Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, dua lokasi iaitu Gurney Paragon di sini dan Design Village di Batu Kawan dipilih sebagai pusat program RiVAC di negeri ini.

“Bermula semalam, di Gurney Paragon sebanyak 6,000 dos vaksin pertama akan diberikan kepada penerima manakala di Design Village yang akan dibuka esok pula 4,000 dos vaksin bakal diberi.

“Kedua-dua lokasi pusat program RiVAC ini dijangka selesai memberikan vaksin dalam tempoh lima hari dari dibuka dan akan beroperasi semula 21 hari kemudian bagi menyalurkan dos vaksin kedua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN