Pukul kepala pesaing guna besi, peniaga Myanmar didenda RM4,000 - Utusan Malaysia

Pukul kepala pesaing guna besi, peniaga Myanmar didenda RM4,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Akibat berang dengan tindakan peniaga lain berniaga sayur berdekatan dengannya, seorang wanita warganegara Myanmar didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memukul kepala pesaingnya menggunakan besi.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu terhadap Shakilah Kadir Husson, 28, yang merupakan pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Sekiranya jumlah denda gagal dibayar, tertuduh boleh dipenjara selana 10 bulan dan wanita itu membayar jumlah denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Shakilah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan, dengan menggunakan sebatang besi ke atas Mahmudah Zafar Ahmad, 39, di hadapan sebuah lot kedai di Kampung Lembah Indah, Selayang Baru, dekat sini, pukul 8 malam pada 30 Julai lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu semasa rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Nik Ahmad Asyraf memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda dengan alasan tertuduh adalah ibu tunggal yang menyara seorang anak serta kedua-dua ibu bapa.

“Kejadian berpunca kerana pengadu datang berniaga berdekatan dengan tempat tertuduh meniaga. Tertuduh menegur pengadu supaya berniaga di tempat lain untuk elakkan persaingan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal kerana mangsa mengalami luka di kepala dan terpaksa menerima jahitan selain besi yang digunakan tertuduh adalah sepanjang 1.2 meter.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa tidak mengendahkan permintaan tertuduh yang menegurnya supaya tidak berniaga sayur berdekatan dengan gerai tertuduh menyebabkan perselisihan berlaku.

Berang kerana peniaga itu tidak memperdulikan tegurannya menyebabkan tertuduh bertindak memukul kepala dan badan mangsa beberapa kali menggunakan sebatang besi panjang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya