fbpx

23 September 2021, 8:45 am

  TERKINI

Presiden MIC belakangkan Perlembagaan – Mohamed Khaled

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenyataan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A Vigneswaran adalah tidak benar dan telah membelakangkan prosedur yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Presiden MIC itu gagal memahami tindakan kerajaan yang telah menyebabkan krisis Perlembagaan dan merupakan satu keingkaran terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, perkara itu sangat menyedihkan apabila pemimpin yang diharapkan itu gagal menegakkan kedudukan tertinggi negara dan menghina asas demokrasi negara.

“Beliau kelihatan lebih cenderung mempertahankan tindakan kerajaan dan bukannya mengangkat Perlembagaan sehingga tidak mengendahkan institusi diraja.

“Malaysia sebagai negara berdaulat tidak seharusnya melupakan sejarah dan ketinggian institusi yang menjadi sumber kuasa negara ini semata-mata mahu mengambil hati mereka yang berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohamed Khaled, Vigneswaran beranggapan tindakan kerajaan membatalkan ordinan darurat sebelum waktunya adalah sesuatu yang berasas sedangkan hujah itu pincang dan tidak bernas.

“Di bawah Perlembagaan, hanya ada dua cara menamatkan Proklamasi Darurat. Pertama, jika Yang di-Pertuan Agong membatalkannya dan kedua, melalui pembatalan dibuat ketetapan oleh kedua-dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Justeru, kerajaan telah membuat andaian semata-mata bahawa hanya kerana Yang di-Pertuan Agong berhasrat untuk tidak meneruskan Ordinan Darurat selepas 1 Ogos, maka ia juga bermaksud Seri Paduka memberikan perkenan diraja untuk menamatkan semua Ordinan Darurat.

“Sedangkan sangat jelas bahawa kenyataan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah mengelirukan Parlimen serta orang awam dan menimbulkan krisis Perlembagaan,” katanya.

Tambah bekas Menteri Besar Johor itu, pihaknya mengakui senarai Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen disediakan oleh kerajaan dan bukannya institusi istana.

“Namun, Presiden MIC gagal untuk mengambil maklum bahawa peranan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 (2B) dan (3) adalah jelas yang mana Malaysia mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang menyaksikan Seri Paduka sebagai Ketua Negara.

“Dalam sistem Raja Berperlembagaan, Seri Paduka mempunyai peranan untuk mengukuhkan keabsahan demokrasi di dalam negara dan titah Yang di-Pertuan Agong mesti dijunjung.

“Oleh yang demikian, Vigneswaran harus memahami bahawa kita sedang berhadapan dengan krisis Perlembagaan dengan isunya sekarang adalah tentang tindakan seorang menteri yang mengelirukan Parlimen dan masyarakat awam, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” tegasnya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN