PUTRAJAYA: Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan terus dilaksanakan demi kesejahteraan semua di negara ini sejajar perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan terus komited dalam usaha membawa Malaysia keluar daripada pandemik Covid-19 menerusi strategi PPN yang sentiasa berlandaskan sains dan data.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras PPN berkata, ini termasuk menggunakan pendekatan whole-of-nation, mengambil kira input semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.
“Insya-Allah, dengan usaha kita bersama dan fokus untuk menyelamatkan negara melangkaui kepentingan peribadi, kita pasti akan #MenangBersama,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Dalam perutusan khas Perdana Menteri bagi menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan keabsahan sebagai Perdana Menteri tengah hari tadi, Muhyiddin berkata, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.
Beliau memberi jaminan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.
Begitu juga bantuan-bantuan yang diumumkan kerajaan dapat diterima rakyat tanpa sebarang halangan.










