PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali memberi jaminan anggota pasukan keselamatan terutama polis dan tentera sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan serta ketenteraman awam.
Beliau berkata, dalam mendepani situasi semasa, pihaknya memberi jaminan perkhidmatan awam sentiasa komited bagi memastikan penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar sedia ada.
Menurutnya, urusan pentadbiran perkhidmatan awam juga tidak akan terkesan ekoran situasi semasa negara terutama dalam mendepani cabaran serius wabak Covid-19 pada ketika ini.
“Penjawat awam juga akan terus menggalas amanah dipertanggungjawabkan seperti termaktub Perlembagaan Persekutuan.
“Urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua jabatan persekutuan seperti biasa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zuki berkata, segala bantuan dan inisiatif melibatkan peruntukan besar tidak terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutama program imunisasi Covid-19 nasional.
Perkhidmatan awam ujar beliau, juga kekal memberi komitmen dalam mendukung konsep berkecuali dan ‘government of the day’ yang berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.
Jentera kerajaan tegas Mohd. Zuki, sentiasa sedaya upaya melaksanakan segala polisi yang diputuskan dan memastikan perkhidmatan terbaik buat rakyat sepanjang tempoh mencabar.
“Saya pun merasai sendiri dedikasi mereka yang bertugas tanpa kenal erti penat lelah dalam menjayakan usaha melandaikan keluk penularan kes Covid-19 lebih setahun lalu,” katanya.
Terdapat 1.6 juta penjawat awam persekutuan di seluruh negara yang berkhidmat di bawah 28 kementerian dan tiga portfolio Jabatan Perdana Menteri serta Pejabat Perdana Menteri. – UTUSAN