Polis jawab dakwaan pekerja asing gelang pink 'merayau' di kedai - Utusan Malaysia

Polis jawab dakwaan pekerja asing gelang pink ‘merayau’ di kedai

GAMBAR tular pekerja warga asing yang didakwa melanggar SOP kuarantin kendiri di Kampung Muhibbah di Sungai Siput. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Gambar pekerja warga asing memakai gelang merah jambu dan berkeliaran di Kampung Muhibbah yang tular dalam media sosial sebenarnya dalam perjalanan pulang untuk kuarantin kendiri di asrama.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya mendapati, pekerja-pekerja tersebut menjalani ujian saringan Covid-19 di kilang berkenaan pada hari sama gambar tular setelah enam pekerja disahkan positif dijangkiti wabak tersebut.

Katanya, kesemua mereka kemudiannya dipakaikan gelang merah jambu oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar dan diarah pulang ke asrama.

“Kilang tersebut telah menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap lebih 500 pekerjanya di mana enam pekerja telah disahkan positif.

“Pekerja-pekerja lain dipakaikan gelang kuarantin yang bertujuan menyekat pergerakan selepas mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat kes sah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khaizam, gambar tular mendakwa pekerja warga asing bebas berkeliaran adalah tidak benar kerana mereka yang dalam perjalanan pulang ke asrama singgah di kedai untuk membeli barang keperluan sepanjang tempoh kuarantin.

Malah katanya, pemeriksaan oleh pihak polis di asrama pekerja terbabit juga mendapati tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin kendiri.

“Pasukan pemantau SOP Covid-19 telah membuat pemantauan secara berkala di kawasan-kawasan sekitar dan ke atas semua pekerja yang dikuarantin.

“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang pelanggaran SOP Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kesemua pekerja yang diarahkan kuarantin berada di asrama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN