Warga Vietnam niaga kek elak kegiatan jual cap pasport dikesan

Warga Vietnam niaga kek elak kegiatan jual cap pasport dikesan

Cap pasport palsu
KHAIRRUL Aminus Kamaruddin menunjukkan cap palsu dan pasport yang dihantar kepada sindiket tersebut untuk mendapatkan cap berkenaan, dalam sidang akhbar JIM Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Taktik tiga warga Vietnam bersahabat mengaburi pihak berkuasa dengan menyamar sebagai penjual kek bagi melindungi aktiviti pemberian cap pasport palsu terbongkar.

Kegiatan mereka dekat sebuah rumah teres di Taman Sri Andalas, Klang itu dihidu pasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menerusi risikan selama dua minggu.

Pengarahnya, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, susulan risikan, tiga suspek terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berusia 26 hingga 40 tahun ditahan di rumah teres dua tingkat itu dalam Operasi (Op) Serkap pada pukul 4 petang, semalam.

“Ketika serbuan, kita turut merampas pelbagai barangan seperti 10 pasport dari Vietnam, dua jenis cap keluar dan masuk, sebuah kereta Subaru XV, wang tunai RM2,150 serta peralatan seperti bahan peluntur dipercayai untuk mencuci cap lama,”

“Nilai kesemua rampasan lebih RM50,000 katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Jelasnya, modus operandi yang dilakukan oleh sindiket berkenaan adalah dengan melakukan kegiatan itu secara dalam talian sebelum menerima dan menghantar pasport melalui perkhidmatan p-hailing.

“Mereka menawarkan cap bagi warga asing terutama yang tinggal lebih masa dengan memberikan cap masuk atau keluar dengan bayaran RM400 setiap cap dari pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.

“Lokasi pintu masuk tersebut dipilih, kononnya hendak menunjukkan mereka masuk ke negara ini sebagai pelancong dengan menggunakan pas (cap) lawatan sosial, iaitu pelancong yang masuk melalui Singapura.

“Malah, sindiket juga akan mencuci cap lama menggunakan peluntur untuk mencuci cop yang asal (asli) sebelum meletakkan cetakan cap yang baharu bagi mengelak daripada dikesan tinggal lebih masa dan sebagainya,” katanya.

Khairrul Aminus menambah, kesemua suspek kini direman selama dua minggu bermula semalam di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 iaitu berkaitan pemalsuan atau pindaan bagi pengendorsan atau dokumen yang dipalsukan yang membawa hukuman denda sehingga RM30,000, penjara sehingga lima tahun dan enam kali sebatan.

“Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Seksyen 12(1)(a) dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 iaitu memalsukan pasport,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN