KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) bersedia membantu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat PN di ibu negara baru-baru ini.
Katanya, tumpuan kini adalah untuk mencari jalan bagi mencapai kestabilan dengan Kabinet baharu yang bakal dibentuk beberapa hari lagi.
“Yang paling penting ialah kerajaan Persekutuan berada dalam keadaan stabil dan berfungsi sebaik mungkin ketika krisis Covid-19 dan ekonomi.
“Kita berharap Kabinet yang dibentuk benar-benar berintegriti dan mampu menggalas tanggungjawab keluar daripada krisis yang ada,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Kediaman Seri Iman di sini hari ini.
Ahad lalu, kepemimpinan utama PN mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan antara yang hadir termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahmad Faizal Azumu.- UTUSAN ONLINE










