IPOH: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri perlu mendapatkan pengesahan di Parlimen mengenai sokongan ahli Parlimen terhadapnya menerusi usul percaya terlebih dahulu sebelum membentuk Kabinet.
Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, jika usul percaya itu berjaya, barulah Ahli Parlimen Bera itu menghantar nama kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kabinet.
Menurutnya, usul percaya di Parlimen sudah dititahkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dan ini selaras dengan semangat Perlembagaan terutama selepas apa yang terjadi kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Walaupun perkara itu (mendapat pengesahan di Parlimen) tidak disebut dalam Perlembagaan tetapi ramai sarjana Perlembagaan berpendapat begitu.
“Setiap pelantikan kena disahkan oleh Parlimen, bagi saya ia cukup cantik. Apa yang baik dari usul itu? Rakyat akan dapat melihat siapa yang mendokong Ismail Sabri.
“Ada orang dapat jawatan tapi lepas itu kena letak jawatan sebab gagal dapat confirmation atau pengesahan,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN ONLINE










