KOTA TINGGI: Jawatan Perdana Menteri yang dipegang Tan Sri Muhyiddin Yassin kini perlu dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) agar kestabilan politik negara tidak tergugat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, Yang di-Pertuan Agong dimohon membuat pertimbangan tersebut termasuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar usaha memerangi pandemik Covid-19 dapat diteruskan.
“Sekiranya Perdana Menteri dan kerajaan ditukar ketika ini, banyak masalah yang akan timbul termasuk merencatkan usaha memerangi Covid-19 yang mencecah lebih 20,000 kes ketika ini.
“Pada masa sama tidak ada calon Perdana Menteri yang layak ketika ini dan sekiranya Perdana Menteri serta kerajaan ditukar, belum tentu dapat menyelesaikan masalah Covid-19 di negara ini.
“Perdana Menteri atau kerajaan baharu nanti bukan ada magik apabila dilantik masalah Covid-19 akan selesai sekelip mata. Ini mustahil dan kerajaan PN sudah melakukan yang terbaik dalam memerangi pandemik ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan peribadi untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Air Tawar 5 di Pejabat Kejora, Bandar Penawar di sini hari ini.
Menurut Che Zakaria, pembubaran Parlimen untuk PRU-15 juga tidak wajar ketika ini kerana penggal untuk PRU-14 akan tamat tidak lama lagi dengan tempoh masa yang ada sepatutnya ditumpukan untuk menangani Covid-19.
“Kita harus mematuhi titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis lalu yang mahukan semua pihak berhenti berpolitik ketika ini.
“Titah Sultan Johor perlu difahami dalam konteks yang lebih luas iaitu kemelut politik negara dan bukan di Johor sahaja. Kita khuatir jika Perdana Menteri meletak jawatan keadaan bertambah buruk dan perebutan kuasa berlaku,” katanya.
Timbul desas-desus Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh akan meletakkan jawatan dan mengumumkan perkara tersebut selepas bertemu Yang di-Pertuan Agong pada Isnin.
Pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen dan mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan.










