JERANTUT: Setelah kedai makannya terpaksa ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disebabkan Covid-19 sejak awal tahun ini, ia tidak melunturkan semangat Mohd. Simin Abdullah, 54, untuk meneroka bidang perniagaan lain.
Bermula jualan sayur-sayuran pada awal tahun ini dan beralih pula menjual buah seperti durian, rambutan, kundang, dokong sejak tiga bulan lalu, kini Mohd. Simin beralih kepada pasaran biji perah jeruk pula.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau yang tinggal di Felda Kota Gelanggi Dua berkata, buah perah daripada tumbuhan liar hutan tersebut diperolehnya daripada kawasan Hulu Tembeling di sini.
“Buah ini kemudiannya dibawa balik ke rumah lalu direbus beberapa kali dan dijeruk (direndam) dalam air garam juga selama beberapa hari.
“Biji buah perah jeruk atau ‘isi rong’ boleh dimakan dan rangup serta berlemak seperti kacang, ia juga boleh ditumbuk separa lumat dicampur dalam masakan berasaskan ikan sungai seperti tenggalan, baung, kenerak dan dibubuh pucuk paku dan ubi dikenali sebagai ‘gulai asam rong’,” katanya di sini semalam.
Mohd. Simin yang merupakan bapa kepada empat orang anak itu berkata, jeruk biji buah perah digemari pelanggan malah makanan itu dikenali serata tempat seperti Johor, Melaka dan Lembah Klang termasuk kawasan berdekatan negeri ini.
“Saya menggunakan media sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp untuk memudahkan pelanggan memesan makanan ini lalu dijual secara ‘hantar dan bayar’ (COD) bagi kawasan terdekat, pos ekspres kepada pelanggan luar daerah dan negeri lain.
“Setiap bungkusan biji perah jeruk seberat satu kilogram dijual dengan harga RM12 dan kebanyakan pelanggan di luar Pahang, biasanya membuat pesanan seberat antara 10 hingga 30 kilogram,” katanya.
Mohd. Simin berkata, dia juga menjual buah perah mentah kepada pelanggan yang mahunserta mahir memproses sendiri untuk dijadikan makanan dengan harga yang sama.
Bercerita lanjut katanya, perniagaan itu disokong oleh isterinya, Ramlah Ahmad, 54, serta ibu mentua turut membantu merebus, menjeruk dan membungkus sehingga makanan itu sampai ke tangan pelanggan.
“Memandangkan wabak Covid-19 yang tidak menentu serta penguatkusaan PKP berterusan, saya wajar berusaha dan tidak mati langkah mencari sumber tempatan untuk dijual bagi memperoleh pendapatan.
“Apapun saya mulai bimbang pasaran biji perah jeruk terbantut selepas ini kerana Felda Kota Gelanggi Dua dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 7 September ini. Apa-apapun, saya reda dengan ujian Allah SWT,” katanya.










