Pihak pembelaan terima dokumen kes Iswardy hina Agong - Utusan Malaysia

Pihak pembelaan terima dokumen kes Iswardy hina Agong

TANGKAP layar video Iswardy Morni dalam laman rasmi Youtube yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Agong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan telah menerima dokumen berkaitan kes Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan bagi menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial Facebook, Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan memaklumkan perkara itu ketika kes disebut di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

“Pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan pada pagi ini. Jika diizinkan pohon satu lagi tarikh pengurusan kes selanjutnya,” kata beliau.

Dalam prosiding itu, peguam Shahrulazwad Ismail yang mewakili tertuduh mengesahkan telah menerima dokumen-dokumen berkaitan kes tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 1 Jun lalu, Iswardy, 44, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan bagi menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial.

Mengikut pertuduhan, Iswardy didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pukul 3 petang pada 29 Mei lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iswardy ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu video secara ‘live’ berkenaan ‘Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun Ini’ yang didakwa menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tular dalam media sosial.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan suspek ditahan di kediamannya di Kajang pada pukul 11 malam bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya