Pesakit HSI, HSA akan dipindah ke hospital swasta - Utusan Malaysia

Pesakit HSI, HSA akan dipindah ke hospital swasta

TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebahagian pesakit bukan Covid-19 yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) akan dipindahkan ke kemudahan hospital swasta.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, langkah berkenaan dibuat bagi mengurangkan bebanan terhadap sistem kesihatan awam negeri ini.

“Saya telah menitahkan penyumberan luar pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi meringankan bebanan terhadap sistem kesihatan awam.

“Pesakit dari HSI akan dipindahkan ke Columbia Asia dan dari HSA akan dipindahkan ke KPJ,” titah baginda dalam satu ciapan di laman Twitter miliknya, hari ini.

Tunku Ismail turut bertitah, inisiatif baharu iaitu Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 (IPA-C) akan dilaksanakan untuk mencegah penularan Covid-19.

“Inisiatif baru IPA-C akan dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin-pemimpin komuniti untuk mencegah penularan Covid-19.

“Pelaksanaannya adalah dengan mengutamakan collective responsibility, memantapkan risk communication dan memperkukuh usaha pemantauan,” titah baginda.

Semalam, tular dalam media sosial pesakit yang mendapatkan rawatan di HSI terpaksa menerima rawatan di dalam khemah kerana kesesakan dalam wad.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad turut memaklumkan kerajaan negeri akan mempertingkat keupayaan melawan pandemik Covid-19 khususnya berhubung aspek memberikan rawatan kepada pesakit di hospital awam.

Beliau berkata, JKNJ akan meningkatkan kapasiti dan jumlah katil di wad Covid-19 sedia ada kepada 44 katil bagi setiap wad.

“Hospital kluster di Mersing dan Kota Tinggi juga akan dimaksimakan. Kemudahan khemah di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI juga akan ditambah baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN