PETALING JAYA: Pertemuan ahli Parlimen UMNO di sebuah lokasi di ibu negara semalam tidak melanggar keputusan apatah lagi mengkhianati parti setelah tujuannya menepati keputusan Perhimpunan Agung UMNO iaitu ‘No Anwar, No DAP’.
Bercakap kepada Utusan Online, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pertemuan yang turut disertai ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu bertujuan menandatangani surat sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar ia terus dipertahan.
Katanya, sekiranya kerajaan PN tumbang secara tidak langsung memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil alih semula kerajaan.
“Kami ahli-ahli Parlimen BN termasuk UMNO bersetuju untuk mempertahan PN, kalau tidak dipertahankan kerajaan sedia ada maka akan jatuh dan akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP mengambil alih kerajaan.
“Jadi sebab itu kita pertahankan dan ia sejajar keputusan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini iaitu ‘No Anwar, No DAP’. Jadi kami bukan mengkhianati parti, tujuan kami menepati ketetapan parti,” katanya.
Terdahulu beberapa portal melaporkan satu pertemuan berlangsung dengan kehadiran 30 ahli Parlimen BN dipercayai bagi menandatangani surat akuan bersumpah (SD) bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan satu kenyataan media bahawa 40 ahli Parlimen menyokong kerajaan pimpinan sedia ada adalah tulen meskipun Pejabat BN menafikan dikeluarkan pihaknya minggu lalu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas tarikh 26 Julai lalu apabila Istana Negara memaklumkan kerajaan tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong membatalkan Ordinan Darurat dan Seri Paduka menzahirkan dukacita terhadap pengumuman mengejutkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa semua ordinan itu dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri menafikan beberapa laporan berita yang menyatakan pertemuan itu untuk menandatangani SD bagi menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin.
“Ini bukan ‘sign’ SD kepada Perdana Menteri, tetapi surat sokongan kepada kerajaan PN. Perkara ini telah pun ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu konsisten sokongan kerajaan PN,” katanya. – UTUSAN ONLINE