PUTRAJAYA: Majikan diingatkan membuat permohonan bagi proses verifikasi pendatang asing tanpa izin (PATI) kepada Jabatan Imigresen dalam Program Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja (RTK) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, permohonan yang lulus tapisan verifikasi boleh disemak di laman web www.fwcms.com.my bagi kelulusan penggajian PATI.
“Pelaksanaan program yang dilaksanakan sejak 1 Julai lalu terbuka kepada sektor perladangan, perkilangan, pembinaan dan pertanian meliputi subsektor perkhidmatan seperti restoran, kargo, borong dan runcit serta pembersihan dan pencucian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas kementerian itu, majikan juga dimohon untuk mengikuti langkah-langkah yang dinyatakan bagi memastikan kelancaran program RTK tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan, pihak majikan boleh menghubungi Urus Setia Pekerja Asing Program RTK di talian 03-86892822 atau melalui emel di [email protected].










