‘Perkara positif boleh diperkukuh, negatif boleh diperbaharui’ - Utusan Malaysia

‘Perkara positif boleh diperkukuh, negatif boleh diperbaharui’

SHAHRIL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Meskipun barisan Kabinet baharu membariskan pemimpin yang pernah berkhidmat,  tidak bermakna semua segala gerak kerja kekal sama dengan perkara positif boleh diperkukuh manakala negatif perlulah diperbaharui.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, amanah baharu yang dipikul itu tetap menjadi peluang untuk seluruh Jemaah Menteri menambah baik prestasi keseluruhan berbanding sewaktu pentadbiran dahulu.

“Terpulang kepada Jemaah Menteri sama ada mengambil peluang itu atau tidak. Tidak salah kiranya andai kita beri sedikit masa sebelum mengadili baik buruknya. Bukan hanya selaku orang UMNO, tetapi sebagai rakyat Malaysia, tentunya saya mengharapkan kerajaan ini berjaya mengambil peluang tersebut.

“Apabila melihat situasi rakyat hari ini, tiada waktu untuk berbalah, adu domba, berspekulasi lagi. Sebaliknya ini masa untuk bekerja, melaksanakan perkara yang boleh mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru Shahril Sufian berharap, demi kestabilan politik, barisan Jemaah Menteri baharu itu akan merangka dan melaksana dasar yang lebih baik bersesuaian dengan keperluan semasa mengurus Covid-19 dan ekonomi rakyat yang kian tenat.

Ujarnya, cadangan  terus diberikan dari masa ke semasa termasuk daripada dalam parti sendiri untuk pertimbangan kerajaan.

“Mustahaknya apa pun tanggapan awal, inilah pasukan yang dibariskan di atas padang. Yang perlu tegur, kita tegur. Namun selagi mereka tidak buat perkara salah, kita sokong, kita bantu, kita jayakan atas semangat berpasukan dan Keluarga Malaysia,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, pelantikan yang diumumkan hari ini adalah bersifat serahan amanah kepada semua individu berkaitan untuk berkhidmat dalam era yang paling mencabar. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN