PETALING JAYA : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, perjuangan melawan pandemik Covid-19 tetap dan terus menjadi keutamaan semua rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Bera itu kemudian merakamkan ucapan terima kasih kerana diberikan penghargaan apabila diberikan tanggungjawab yang besar dalam situasi sukar ini.
“Saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang perkhidmatan. Sama-sama kita doakan Malaysia terus makmur, aman dan sentosa,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) dan Menteri Pertahanan sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai lalu.
Beliau adalah individu penting di dalam usaha negara mengawal penularan Covid-19.
Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan beliau menyembah warkah surat perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Namun Seri Paduka berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. – UTUSAN ONLINE