BAGAN SERAI: Semua pegawai daerah diminta membuat persiapan untuk menghadapi musim tengkujuh.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, musim tengkujuh kali ini lebih awal daripada yang dijangkakan.
“Tahun ini kita kena buat persiapan lebih awal dalam menghadapi musim tengkujuh ini kerana keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Mengikut ramalan, cuaca kering diramal sehingga pertengahan September ini tetapi seperti banjir yang berlaku di Yan, Kedah diikuti Pulau Pinang seterusnya di Perak utara, ini menunjukkan musim tengkujuh tiba lebih awal,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dekat sini hari ini.
Saarani mengingatkan semua pegawai daerah yang mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Banjir agar mengadakan mesyuarat lebih awal bagi membuat persiapan dalam menghadapi kemungkinan banjir.
“Seelok-eloknya buat mesyuarat lebih awal untuk mengenal pasti tempat yang sering berlaku banjir dan juga mengenal pasti lokasi PPS yang bersesuaian dengan keadaan jarak serta mempunyai utiliti kemudahan yang lengkap” katanya.
Mengenai banjir di Mukim Beriah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu di sini, Saarani berkata, banjir disebabkan ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Gagah pecah di dua lokasi pada pagi Jumaat lalu.
Menurutnya, berikutan itu, dua PPS telah dibuka di daerah Kerian ini iaitu PPS SK Changkat Lobak yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Matang Tengah.
Katanya, satu lagi ialah PPS SK Alor Pongsu menempatkan mangsa banjir dari Kampung Jalan Baru, Kampung Matang Pasir, Kampung Parit Simpang Empat dan Kampung Parit Simpang Lima.
“Ada di antara penduduk merupakan mangsa banjir setiap tahun dan segelintirnya pula merupakan mangsa banjir yang jarang berlaku kerana mereka antara yang dilanda banjir disebabkan ban RTB yang pecah,” katanya.
Saarani turut mengingatkan penduduk di PPS sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal bagi mengelak jangkitan Covid-19.










