Perak buat persediaan peningkatan mendadak kes Covid-19 - Utusan Malaysia

Perak buat persediaan peningkatan mendadak kes Covid-19

SAARANI Mohamad (tengah) ketika meninjau program SilverVax di Hospital Ar-Ridzuan di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri dalam persiapan untuk membuka tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) baharu bagi menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ketiga-tiga PKRC itu mampu menampung 1,075 orang pesakit apabila dibuka nanti.

“Kerajaan negeri sedang dalam persediaan untuk membuka PKRC di Kompleks Rakan Muda Taiping dengan kapasiti sebanyak 780 buah katil.

“Sebuah PKRC swasta juga akan dibuka di Virgo Hotel Manjung dengan 200 buah katil dan PKRC Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai, sebanyak 95 buah katil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Saarani, sebuah PKRC Khas Orang Asli di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Sinaran Suria di Sungkai yang mampu menampung 470 pesakit telah dibuka bermula 25 Julai lalu.

Katanya, PKRC sedia ada di Stadium Badminton di sini telah dinaik taraf daripada 470 ke 520 katil dengan jumlah maksimum sehingga 600 pesakit.

“Selain itu pusat kuarantin sedia ada di Kolej Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Ulu Kinta juga mempunyai 570 buah katil,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, program SilverVax bukan menggantikan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) atau Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Menurutnya, SilverVax bertujuan untuk menyokong usaha mempercepat kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk negara ini dan rakyat Perak secara khususnya.

Katanya, bagi menjayakan Program SilverVax ini, Majuperak telah bekerjasama dengan Hospital Ar-Ridzuan sebagai rakan panel kesihatan serta Pharmaniaga Berhad sebagai pembekal vaksin jenis Sinovac.

“Buat masa ini, program SilverVax berlangsung sepenuhnya di Hospital Ar-Ridzuan di sini.

“Maju Perak mempunyai perancangan untuk melakukan proses vaksinasi di Bazar Ipoh yang akan melibatkan kapasiti pemberian vaksin sebanyak 600 orang sehari atau 18,000 orang sebulan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya