KUALA NERUS: Walaupun peluang merebut kejuaraan Liga Super sudah tertutup, namun Terengganu belum mahu mengangkat bendera putih dalam menamatkan saingan sebagai pasukan kedua terbaik.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, Terengganu perlu bangkit dan tidak lagi keciciran mata dalam baki tiga perlawanan dengan Kuala Lumpur City, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Penang FC sambil terus dihimpit Kedah yang kini menjadi pilihan bergelar naib juara.
“Semua pasukan mula bersaing merebut kedudukan terbaik menuju penghujung saingan liga dan Terengganu juga mahu mengutip mata penuh dalam setiap perlawanan.
“Tekanan itu normal, namun pemain-pemain perlu beraksi seperti biasa untuk memastikan kita mendapat slot ke Piala AFC,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan dengan Kedah, semalam.
Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, bukan tugas mudah untuk berada di kedudukan kedua teratas liga sekali gus memilih untuk fokus dalam baki perlawanan berikutnya.
“Kami mahu terus mengatasi pasukan pencabar lain seperti TFC, Selangor dan Penang FC, tetapi buat masa ini, kita belum memikirkan gelaran naib juara, sebaliknya fokus kepada aksi bertemu PJ City.
“Mendapat tiga mata adalah satu bonus kerana bukan mudah datang ke sini dan beraksi menentang pasukan yang baik seperti TFC,” katanya.