KUANTAN: Seorang peniaga kerugian kira-kira RM36,990 akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud di laman sosial Facebook.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berusia 46 tahun dari Kampung Sempalit, Raub itu mula menjebakkan diri dalam pelaburan tersebut sekitar Julai lalu ketika melayari Facebook.
Menurutnya, mangsa melihat iklan berkaitan pelaburan dan mula menekan pautan untuk mengetahui lebih lanjut lantas segera dihubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa dihubungi suspek bernama Kelvin dari Syarikat GM1 Capital dan telah menerangkan berkenaan pelaburanq tersebut dengan menawarkan beberapa pakej tertentu.
“Antara pakej yang ada iaitu klasik dengan bayaran RM650, perak bayaran RM1,250 manakala emas bayaran sebanyak RM2,500 dan dijanjikan keuntungan yang paling tinggi.
“Hasil siasatan mangsa telah berminat untuk mengambil pakej klasik dan pada 14 Julai lalu Kelvin meminta membuat pembayaran sebanyak RM650 di dalam akaun Bank CIMB milik Tj Sultaz,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, tidak berhenti di situ sahaja suspek masih terus memperdaya mangsa untuk membuat pembayaran seterusnya sebagai penambahan dalam pakej yang ditawarkan itu.
“Selepas bayaran dibuat, kelvin terus meminta mangsa membuat pembayaran sebagai tambahan dan sekali lagi pemindahan wang dilakukan sebanyak RM600.
“Di antara 16 Julai hingga 30 Julai lalu, mangsa telah membuat pembayaran RM35,740 ke dalam empat akaun bank yang berbeza melalui 14 kali deposit tunai. Semua bayaran itu kononnya untuk menerima keuntungan yang berlipat kali ganda,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, melalui cek keuntungan yang dikirimkan melalui WhatsApp sebanyak RM50,000 mangsa telah pergi ke Ambank Cawangan Raub untuk melihat baki akaunnya namun didapati tidak ada transaksi yang berlaku.
“Wang keuntungan pelaburan tidak dimasukkan ke dalam akaun mangsa dan dia segera menghubungi suspek bertanyakan hal tersebut namun diminta membuat bayaran lagi.
“Mangsa merasakan dirinya sudah ditipu dan berhenti daripada membuat sebarang pembayaran. Laporan polis dibuat di Balai Polis Raub, semalam dan tindakan lanjut akan diambil mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN ONLINE