Penghuni selamat, bilik baiki barang elektronik hangus - Utusan Malaysia

Penghuni selamat, bilik baiki barang elektronik hangus

SEBUAH bilik yang dipercayai dijadikan tempat membaiki barangan elektronik di tingkat 11, flat Bayu Nyaman, Bayan Lepas, Pulau Pinang terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Pasukan bomba mengambil masa kurang 15 minit untuk memadamkan kebakaran di sebuah bilik yang dipercayai dijadikan tempat membaiki barangan elektronik di tingkat 11, flat Bayu Nyaman, Bayan Lepas, di sini hari ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1.20 petang itu.

Semasa kejadian, penghuni kediaman berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan dikatakan keluar menjual siput di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan di situ.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rohaizal Abd. Aziz ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 1.26 petang dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, api dalam keadaan marak dan pasukannya berjaya mengawal api dalam tempoh lima minit kemudian.

“Pemeriksaan mendapati kebakaran hanya melibatkan sebuah bilik yang menempatkan pelbagai barangan elektronik yang sedang dibaiki.

“Peratusan kebakaran adalah sebanyak 80 peratus dan tidak melibatkan bahagian ruang tamu. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh kurang 15 minit,” katanya yang menambah, punca kejadian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba.

Rohaizal memberitahu, operasi pemadaman api turut melibatkan kerjasama pasukan bomba sukarela dari Batu Maung, Bukit Bendera dan Pulau Betong.

Sementara itu, seorang penghuni flat berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Aina, 36, pula berkata, dia berlari turun dari rumahnya di tingkat 17 dengan menggunakan tangga sejurus selepas terhidu bau asap.

“Bahang api terasa sehingga di tingkat atas dan saya tidak menunggu lama sebelum meninggalkan rumah.

“Mujur api berjaya dipadamkan dengan cepat. Saya khuatir kebakaran itu merebak sehingga ke tingkat atas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN