SEREMBAN: Seorang penghantar makanan Foodpanda meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di simpang lampu isyarat, Jalan Seremban-Paroi berhampiran Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Khairil Anwar Radhuan, 27, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, siasatan lanjut mendapati, kemalangan pada pukul 10.55 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Paroi menuju ke Seremban.
“Apabila tiba di lokasi kejadian iaitu simpang empat berlampu isyarat, kereta yang dipandu itu sedang bergerak terus kemudian datang sebuah motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggang seorang lelaki berusia 27 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan datang dari simpang sebelah kiri.
“Kereta tersebut tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kanan motosikal yang ditunggang oleh mangsa. Akibat daripada kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Said, mayat mangsa dibawa ke bahagian forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk pengendalian bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan 2, Azizul Aluwai berkata, ketika pihaknya tiba di lokasi kejadian, mangsa berada di bawah kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kami menggunakan peralatan bagi mengeluarkan mangsa dan menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis. Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban terlibat dalam operasi berkenaan,” katanya.










