PETALING JAYA: Polis memburu tiga lelaki yang didakwa memperdaya pengarah syarikat sehingga rugi hampir setengah juta selepas ditipu dalam urusan mendapatkan gelaran dan tanah kurnia.
Ini susulan laporan diterima polis daripada mangsa berusia 33 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, mangsa menerima panggilan dan dimaklumkan bahawa Istana Negara akan mengurniakan gelaran Datuk Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah kurnia berkeluasan lima ekar pada 28 Mac lalu.
Katanya, pada hari sama, mangsa menyerahkan salinan maklumat butiran syarikat dan peribadi kepada individu tersebut di sebuah restoran berhampiran Istana Negara.
“Pada 6 April lalu, mangsa diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM 9,400 ke dalam satu akaun yang diberikan suspek.
“Kemudian, antara 30 April sehingga 17 Jun, dia telah melakukan empat transaksi bayaran berjumlah RM 247,000 ke atas satu akaun lain yang selain menyerahkan RM 150,000 secara tunai kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut Mohd. Mahidisham, selepas bayaran dibuat, mangsa mengesyaki sesuatu dan membuat semakan ke atas akaun dan mendapati akaun tersebut adalah atas nama syarikat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Jelasnya, mangsa terasa dirinya ditipu sehingga kerugian berjumlah RM406,400.
“Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).
“Orang ramai perlu berhati-hati dan menggunakan saluran yang betul dalam urusan mendapatkan anugerah atau gelaran. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan tanpa memeriksa transaksi pembayaran yang dibuat,” ujar beliau.
Tambahnya, sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.- UTUSAN ONLINE