Penganjur, peserta perhimpunan langgar SOP, 29 individu dipanggil

Penganjur, peserta perhimpunan langgar SOP, 29 individu dipanggil – Acryl Sani

SEKUMPULAN peserta berpakaian hitam berarak ketika protes Keluar dan #LAWAN di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, minggu lalu - UTUSAN /MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil sebanyak 29 individu bagi diambil keterangan selepas dipercayai terlibat dengan perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang diadakan di sekitar Dataran Merdeka, dekat sini semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan di bawah peruntukan Akta 342 dan akta-akta lain.

ACRYL SANI ABDULLAH SANI

Katanya, setakat ini, beberapa individu lain masih dalam proses dikenal pasti berdasarkan rakaman video dan gambar.

“Kita turut mengenal pasti seramai 29 individu dan akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan. Kesemua individu terlibat diminta memberikan kerjasama dalam siasatan.

“Malah, pihak polis sehingga kini telah menerima sebanyak 20 laporan polis di seluruh negara bagi membantah penganjuran perhimpunan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, pihaknya sebelum ini telah beberapa kali memberi peringatan supaya semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi keselamatan orang ramai.

Ujar beliau, PDRM turut menyatakan pendirian bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar SOP.

“Sikap penganjur dan peserta yang berdegil mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat agar mengutamakan keselamatan kesihatan adalah tindakan tidak bertanggungjawab lebih-lebih lagi dalam situasi semasa ketika penularan wabak Covid-19 yang memerlukan kerjasama semua untuk dibendung.

“Pemantauan PDRM semasa perhimpunan telah mengesan insiden di mana penganjur dan peserta secara jelas melanggar SOP PPN serta peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan 2021) yang berkuat kuasa,” tegas beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN