SEREMBAN: Lagi sokongan diterima terhadap cadangan supaya Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dinamakan sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet baharu yang akan dibentuk dalam masa terdekat.
Kali ini ia datang daripada Pemuda MIC Negeri Sembilan menerusi ketuanya, B. Ramis yang menyifatkan Mohamad sebagai individu tepat dan berkelayakan untuk mengisi tugas jawatan tersebut.
“Cadangan pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan memang tepat dan terbaik. Kewibawaannya yang telah memacu perkembangan sosioekonomi Negeri Sembilan sepanjang khidmat beliau sebagai Menteri Besar memang terbukti berjaya.
“Latar belakang serta kejayaan beliau di dalam bidang korporat sebelum menceburi bidang politik sesungguhnya mencerminkan kecemerlangan beliau di dalam pengurusan ekonomi dan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Ramis, Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat dalam kalangan akar umbi merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan bersedia mendengar pandangan dan luahan rakyat.
“Negara memerlukan seorang Menteri Kewangan yang bukan sekadar bijak merangka ekonomi negara di atas kertas tetapi seorang yang berjiwa rakyat dan memahami keperluan semasa dan masa hadapan negara.
“Segala perancangan kewangan perlulah realistik, strategik dan berkisarkan realiti cabaran yang dihadapi negara dan rakyat. Ciri-ciri kepimpinan serta pengalaman luas Tok Mat sudah pasti akan menjadi tunjang bagi beliau menggalas amanah sebagai Menteri Kewangan jika ditawarkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan agar Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Hari ini, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mustafa Salim berkata, cadangan tersebut wajar dipertimbangkan mengambil kira pengalaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu dalam bidang korporat dan pentadbiran yang tidak boleh dipertikaikan.










