KUALA TERENGGANU: Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) baharu di Stadium Negeri di sini, tidak lama lagi bukan disebabkan isu kesesakan pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menjelaskan, langkah itu adalah antara persiapan awal Terengganu dalam menangani peningkatan kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.
Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan yang tular kononnya bilangan katil pesakit Covid-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan PKRC di negeri ini sesak.
“Kapasiti katil bagi pesakit kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen ketika ini adalah sebanyak 267.
“Bagaimanapun, kita berhasrat menambah jumlahnya kepada 400 katil dan kedudukan Stadium Negeri yang berdekatan dengan HSNZ dilihat bersesuaian untuk tujuan berkenaan selain saiznya yang luas bagi memudahkan proses pemantauan pesakit,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, tular maklumat dalam media sosial kononnya katil di wad HSNZ dan PKRC tidak mampu menampung jumlah pesakit susulan peningkatan kes Covid-19 termasuk varian Delta.
Dalam perkembangan sama, Alias berkata, ketika ini sebanyak enam PKRC beroperasi di seluruh negeri dengan penggunaan sebanyak 2,973 katil.
Katanya, sebanyak 1,128 katil digunakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering diikuti Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman (584 katil), Universiti Malaysia Terengganu (484 katil), Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (392 katil), Kem Wawasan Besut (200 katil) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuala Terengganu (185 katil). – UTUSAN ONLINE