KUANTAN: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan merupakan suatu kebanggaan kerana tiga anak jati negeri ini diangkat menjawat jawatan nombor satu negara.
Ia bermula dengan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (1970 hingga 1976), diikuti Datuk Seri Najib Tun Razak (2009 hingga 2018) dan kini Ismail Sabri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, turut membanggakan apabila pelantikan dan pengurniaan suratcara pelantikan Ismail Sabri disempurnakan pada Sabtu lalu oleh Yang di-Pertuan Agong, yang juga Sultan Pahang.
“Semestinya kita menjunjung titah dan menjunjung kasih atas kebijaksanaan serta perkenan Seri Paduka melantik dan menyempurnakan pelantikan ini.
“Pelantikan Ismail Sabri ke jawatan eksekutif tertinggi negara ini pula, ialah secara ‘meteoric’ atau mendadak. Daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang pada 7 Julai, kepada Perdana Menteri pada 21 Ogos, atau dalam tempoh 45 hari sahaja.
“Inilah yang dikatakan pepatah – ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Hanya Allah SWT sahaja yang menentukan segala-galanya,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas sempena Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pemilihan Ismail Sabri juga dibuat melalui proses yang teliti serta menepati kehendak undang-undang.
“Pemilihan ini juga adalah bermerit sama ada daripada segi jawatannya dalam parti mahupun kerajaan Persekutuan, juga daripada segi kelayakan akademiknya,” katanya.
Beliau berharap semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya kepada Perdana Menteri agar beliau dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan khususnya dalam menangani wabak pandemik Covid-19, serta kesan-kesan sosio-ekonomi yang diakibatkannya.