Pelanggan boleh minta pengusaha, pekerja restoran tunjuk sijil vaksinasi - Utusan Malaysia

Pelanggan boleh minta pengusaha, pekerja restoran tunjuk sijil vaksinasi

NOOR Azmi Ghazali (kanan) berbual dengan penerima vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Merdeka Lenggong, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Pelanggan boleh meminta pengusaha restoran dan pekerja mengemukakan pengesahan lengkap dua dos vaksin Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera susulan kebenaran dine in di premis bagi negeri Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula esok

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, langkah itu bagi menjawab keraguan pelanggan yang bimbang dengan status pemilik premis dan pekerja sama ada telah menerima suntikan imunisasi atau tidak.

“Jika kita ragu-ragu, kita boleh bertanya kepada pekedai. Pelanggan berhak untuk tanya dan minta untuk lihat MySejahtera (sijil digital vaksinasi).

“Lagi pula, kita memang boleh periksa sesama kita (sama ada telah divaksin atau tidak),” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Merdeka Lenggong di sini hari ini.

Noor Azmi berkata demikian bagi menjawab keraguan orang ramai tentang pemilik restoran dan pekerja yang belum menerima sebarang suntikan vaksin Covid-19 sedangkan pelanggan perlu mengemukakan sijil digital vaksinasi lengkap dua dos sekiranya mahu makan di dalam premis.

Menurut beliau, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti makan di dalam premis dimaklumkan dalam masa tedekat.

“SOP ada, tetapi perlu rujuk garis panduan terkini. Saya percaya ada SOP tertentu melibatkan pekedai dan pekerja. Buat masa sekarang, kita tunggu SOP terkini,” katanya.

Menurut Azmi, orang ramai dinasihatkan mengamalkan disiplin ketat dan patuh kepada SOP bagi memastikan tiada jangkitan wabak tersebut di premis makanan.

“Apabila Perdana Menteri umum (dine in), semua orang sebenarnya suka dalam risau. Kita harap sangat semua rakyat berdisiplin dan ambil berat betul-betul perkara ini.

“Kebimbangan kita adalah apabila orang berkumpul. Jika ada yang tidak berdisiplin dan tidak ambil berat, maka ia akan menyebabkan kes naik,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga dicadangkan membuat kawalan kendiri dengan tidak membawa golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak serta wanita mengandung makan di luar.

“Saya cadangkan kalau makan di luar, jangan lama-lama. Kalau boleh orang tua, kanak-kanak dan ibu mengandung jangan dibawa. Mereka ini lebih berisiko dan badan lebih lemah berbanding orang lain.

“Pastikan orang yang hendak pergi itu sihat dan bukan dalam kategori umur yang bahaya. Kita tidak mahu kes jangkitan ini bertambah di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN