PUTRAJAYA: Seluruh rakyat khususnya pemimpin-pemimpin politik perlu mencari titik pertemuan dan kebersamaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan Malaysia terus mencatatkan kejayaan melalui keamanan dan kestabilan politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kekuatan utama Malaysia sejak merdeka ialah kestabilan politik yang membolehkan negara ini mencapai kejayaan membanggakan dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri semalam mengenai rancangan untuk mengadakan undi percaya di Parlimen pada bulan depan telah mententeramkan keadaan dan diterima baik sebahagian besar rakyat.
Justeru kata beliau, tempoh sebulan sebelum Parlimen bersidang harus digunakan sebaik mungkin untuk bermuafakat dan meletakkan negara dalam keadaan lebih stabil.
“Malaysia mempunyai potensi sangat besar untuk menjadi sebuah negara maju. Kita mempunyai pelbagai sumber dan modal insan yang berkualiti.
“Untuk mencapai matlamat sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita perlu menggembleng seluruh tenaga dan buah fikiran mewakili pelbagai sektor, bagi menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang tidak pernah kita alami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapa berkata, salah satu prasyarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi ialah pelaburan dalam dan luar negeri.
Katanya, pelaburan adalah antara pemangkin kepada pemulihan ekonomi yang dapat menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan meningkatkan eksport.
“Iklim pelaburan yang kukuh serta kestabilan politik akan memastikan Malaysia dapat terus menarik pelaburan dari dalam dan luar negara,” katanya.










