Pekerja besi buruk dipenjara 14 hari tunjuk kemaluan kepada wanita - Utusan Malaysia

Pekerja besi buruk dipenjara 14 hari tunjuk kemaluan kepada wanita

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akibat melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang wanita, seorang pekerja besi buruk dihukum penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menunjukkan kemaluan kepada mangsa yang sedang berniaga di tepi jalan.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Premkumar, 32, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mendatangkan kegusaran kepada wanita berusia 30 tahun itu dengan membuka seluar, menunjukkan kemaluan dan mengejarnya.

Kesalahan dilakukan di sebuah jalan di Pusat Bandar Puchong di sini pukul 1 tengahari pada 27 Julai lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan kesalahan memgikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu ketika prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana tidak mampu membayar denda.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang sedang mabuk menghampiri mangsa dan seorang lagi individu sambil meminta wang ketika kedua-duanya sedang berniaga di tepi jalan.

Selepas mendapati mangsa tidak mengendahkannya, tertuduh kemudian bertindak membuka seluar dan menunjukkan kemaluan kepada mangsa menyebabkan wanita itu melarikan diri.

Mangsa terus dikejar namun bernasib baik kerana berjaya mendapatkan bantuan daripada dua anggota polis yang ketika itu melakukan tugas rondaan di kawasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.