Pejuang gesa PM dan semua menteri letak jawatan - Utusan Malaysia

Pejuang gesa PM dan semua menteri letak jawatan

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengulangi pendirian untuk menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh barisan Kabinet melepaskan jawatan.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hanya dengan berundur dari kerajaan sedia dapat menyelesaikan kemelut politik yang tidak berkesudahan.

“Tumpuan sepenuhnya boleh diberikan kepada usaha-usaha untuk menyelesaikan krisis kesihatan, ekonomi dan sosial yang kini melanda negara sejak lebih 17 bulan yang lalu.

“Kami, ahli-ahli Parlimen Pejuang, menjunjung kasih atas penjelasan daripada Istana Negara berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong. Kami juga berpendapat, atas semua tindakan-tindakan yang melanggari prinsip Demokrasi Berparlimen, serta penghinaan terhadap titah Seri Paduka, maka kami menyarankan agar Muhyiddin dan seluruh Kabinet mengambil jalan terhormat dengan segera berundur dari jawatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan bersama pemimpin-pemimpin Pejuang hari ini.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam satu kenyataan berkata, pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Penangguhan itu dibuat pada hari terakhir Dewan Rakyat bersidang secara khas selain Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan tekanan untuk membentang dan membahaskan status pembatalan Ordinan Darurat.

Pada 26 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan kerajaan Persekutuan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu namun kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak yang disifatkan tidak melalui proses sewajarnya selain ‘membelakangkan’ Yang di-Pertuan Agong.

Baru-baru ini, Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang telah dibuatkan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat sedangkan pembatalan ordinan tersebut belum mendapat perkenan.

Enam Ordinan Darurat yang diwartakan tahun ini iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021.

Tiga lagi ordinan yang diwartakan ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu]; Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif] dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir mendakwa, kerajaan cuba untuk memperdaya Dewan Rakyat dengan dakwaan kononnya Seri Paduka telah memberi perkenan agar Ordinan-ordinan Darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu.

“Menerusi kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Istana Negara pada 29 Julai, 2021, jelas bahawa kenyataan itu terpesong dari apa yang telah dititahkan oleh Seri Paduka kepada Takiyuddin dan Tan Sri Idrus Harun (Peguam Negara) semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu.

“Takiyuddin dan Idrus telah mempersembahkan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat. Seri Paduka tidak memperkenankan cadangan tersebut, sebaliknya menitahkan ia dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan. Titah Seri Paduka itu telah tidak dilaksanakan.

“Ini bukti jelas bahawa Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri beliau telah melanggar Perkara 36 (7) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menegahkan mana-mana pihak dari menyalahgunakan nama Seri Paduka mahupun Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri-Negeri untuk tujuan mempengaruhi Majlis Mesyuarat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya