Pasar Awam Bukit Mertajam ditutup lagi gara-gara Covid-19 

Pasar Awam Bukit Mertajam ditutup lagi gara-gara Covid-19 

PASAR Awam Bukit Mertajam, Pulau Pinang akan ditutup sekali lagi bermula Khamis ini selepas lima kes positif Covid-19 dikesan di situ baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pasar Awam Bukit Mertajam akan ditutup buat kali kedua dalam tempoh kurang dua bulan bermula Khamis ini selepas sekurang-kurangnya lima kes positif Covid-19 dilaporkan berlaku di situ ketika ini. 

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, kesemua individu yang positif itu terdiri daripada kalangan peniaga dan pekerja yang telah membuat saringan di klinik swasta. 

Katanya, tiga daripada mereka disahkan positif melalui ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT PCR) manakala dua lagi kes dikesan positif hasil ujian Kit Ujian Pantas (RTK Antigen). 

“Sehubungan itu, MBSP mengambil inisiatif awal dengan mengarahkan semua peniaga di Pasar Awam Bukit Mertajam menghentikan sementara operasi perniagaan selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 Ogos ini atau sehingga dimaklumkan semula. 

“Bagaimanapun, MBSP boleh membenarkan pekerja atau peniaga membuka semula perniagaan mereka sekiranya mereka telah menjalani Ujian RT PCR atau RTK Antigen serta telah disahkan negatif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut kata Rozali, ujian swab itu perlu dibuat mulai hari ini dan hanya peniaga yang disahkan negatif dibenarkan berniaga semula mulai Jumaat ini dengan mengemukakan bukti saringan yang telah dibuat. 

“Arahan ini (penutupan sementara) bertujuan sebagai langkah pencegahan awal bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan peniaga, pekerja dan pengunjung. 

“Bagaimanapun, arahan ini juga tertakluk kepada arahan lanjut oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) kelak,” katanya. 

Sebelum ini, pasar awam itu ditutup selama 10 hari bermula 31 Mei lalu untuk kerja-kerja sanitasi serta pengesanan kontak rapat selepas tiga daripada peniaga di situ disahkan positif Covid-19. 

Dalam penutupan operasi yang pertama itu, seramai 31 daripada keseluruhan 253 peniaga Pasar Awam Bukit Mertajam yang telah disaring disahkan positif Covid-19 manakala selebihnya adalah negatif.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN