Parlimen belum terima usul undi percaya - Rashid Hasnon - Utusan Malaysia

Parlimen belum terima usul undi percaya – Rashid Hasnon

MOHD. RASHID HASNON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon mendedahkan bahawa pihaknya belum menerima usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, katanya, kerajaan masih ada masa untuk mengusulkan perkara tersebut.

“Kita belum terima lagi setakat hari ini. Bagi usul kerajaan tempoh penghantarannya tidak terlalu jauh dari tarikh persidangan berbanding usul peribadi yang perlu dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum bersidang,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Tambahnya, notis pemberitahuan kepada Ahli Parlimen dalam proses untuk diedarkan bagi membolehkan mereka menyediakan soalan untuk sesi soal jawab lisan dan lain-lain.

Pada masa sama, Rashid berkata Jawatankuasa Dewan Rakyat akan berbincang dengan ketua-ketua whip parti kerajaan dan pembangkang dalam tempoh terdekat berhubung penetapan jumlah Ahli Parlimen dibenarkan hadir ke sidang Parlimen pada 6 September ini.

“Seperti sebelum ini, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan panggil semua ketua-ketua whip daripada parti kerajaan dan pembangkang untuk berbincang.

“Belajar daripada apa yang berlaku pada sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlukan langkah pencegahan yang lebih mantap,” katanya.

Beliau mengulas demikian selepas Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, hanya bersidang selama empat hari dan terpaksa ditangguhkan ekoran penularan jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen.

Setakat 8 Ogos, sebanyak 88 kes positif Covid-19 dicatatkan yang menghadiri sidang khas Parlimen tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN