Pas Perak kekal sokong kerajaan negeri pimpinan Saarani - Utusan Malaysia

Pas Perak kekal sokong kerajaan negeri pimpinan Saarani

RAZMAN Zakaria (tengah) menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada Pengerusi PPK Gunung Semanggol Selinsing, Abdul Rahman Hamid di PPK Semanggol Selinsing dekat Bagan Serai. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pas Perak percaya kemelut politik di peringkat Persekutuan sehingga menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan semalam tidak mengubah pentadbiran kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, kerajaan negeri Perak tidak akan tergugat kerana sokongan terhadap Datuk Saarani Mohamad akan kekal utuh seperti mana ketika dipilih sebagai Menteri Besar pada Disember lalu.

“Pas Perak tetap memberi sokongan terhadap Menteri Besar sedia ada. Walaupun berlaku kemelut politik di peringkat Persekutuan, semuanya menjalankan seperti biasa dengan pemimpin negeri melaksanakan tugas di posisi masing-masing dengan fokus tentang masalah rakyat.

“Soal bakal wujudnya kerajaan baharu atau Perdana Menteri baru di peringkat Persekutuan, ia sama sekali tidak menjejaskan kerajaan negeri Perak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program Peladang Prihatin Covid-19 anjuran Advansia di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gunung Semanggol Selinsing dekat sini hari ini.

Menurut Razman, Pas tidak bercadang untuk menarik diri daripada memberi sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) termasuk sokongan di negeri Perak.

Katanya, Pas Perak akan kekal dengan sokongan sedia ada.

“Namun sekiranya berlaku sebarang perubahan, maka perkara itu kita akan rujuk dengan Pas Pusat.

“Sebagai seorang ahli Pas, sudah tentu saya akur terhadap apa jua keputusan dan arahan peringkat pusat,” katanya.

Pada Disember lepas, kerajaan negeri Perak dibentuk dengan 34 kerusi atas gabungan tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN) dengan 26 kerusi, diikuti Bersatu (6) dan Pas (3) diterajui Saarani sebagai Menteri Besar.

DUN Perak mempunyai 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah. Berdasarkan jumlah semasa, UMNO memiliki 26 kerusi dalam DUN Perak, diikuti DAP (15), Amanah (5), Bersatu (6), PAS (3), PKR (3) dan bebas (1).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN