KUALA TERENGGANU: Penduduk di daerah ini dan Kuala Nerus diminta bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan terputus bekalan air susulan tekanan air rendah yang dikesan di paip dasar Sungai Terengganu, hari ini.
Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) dalam kenyataan berkata, ketika ini pasukan teknikal giat menjalankan langkah-langkah pengesanan untuk mengetahui keadaan sebenar di jajaran paip Tangki Berangan itu.
“Kita mengesan pengoperasian yang tidak stabil dan kami memohon pengguna di kawasan terlibat untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
“Pengurusan Satu memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Terengganu dilanda krisis air terburuk berikutan kerosakan major pada paip bersaiz 1,200 milimeter yang pecah di dasar Sungai Terengganu.
Keadaan itu menyebabkan seramai 28,700 pengguna akaun Satu di daerah ini dan Kuala Nerus mengalami terputus bekalan air selama 12 hari sejak 2 Ogos lalu.
Satu berkata, pihaknya akan mula menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki mulai hari ini mengikut penjadualan ditetapkan.
Di samping itu, katanya, tangki-tangki statik akan turut ditempatkan di kawasan-kawasan terlibat.










