Ordinan Darurat: Tidak wajar ketepikan peranan Agong

Ordinan Darurat: Tidak wajar ketepikan peranan Agong

MOHD. AZMI ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet tidak wajar bertindak mengenepikan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang memiliki kuasa terhadap pembatalan Ordinan Darurat.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, negara ini tidak boleh dibiar berada di persimpangan tersebut di saat rakyat berdepan dengan keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang sangat rumit sekarang ini.

“Keputusan mengenai darurat dan Ordinan Darurat mempunyai kesan besar kepada rakyat. Keadaan pandemik Covid-19 yang gagal dibendung sejak darurat diisytiharkan menunjukkan perbahasan di parlimen sangat penting. 

“Rakyat terpaksa patuh kepada peraturan dalam Ordinan Darurat padahal keperitan hidup semakin tidak tertanggung. Gejala kematian hampir 200 kes sehari dan kes bunuh diri yang meningkat sepanjang darurat menandakan sebarang keputusan kerajaan yang tidak dibahas di parlimen dengan terperinci akan membawa bahana yang parah kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, keputusan Perdana Menteri dengan Jemaah Kabinet dan Peguam Negara mengenai pembatalan Ordinan Darurat tidak harus mengenepikan Parlimen kerana membahaskannya termasuk dalam kerangka demokrasi berparlimen.

Katanya, perbahasan wajar diadakan kerana banyak aspek perlu dipertimbangkan untuk merumuskan keputusan muktamad.

“Sementara itu isu lain yang berkaitan juga perlu dibahaskan seperti kedudukan status kapasiti sistem kesihatan, hospital, vaksinasi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), persekolahan dan pembukaan sektor ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Azmi menjelaskan di sisi perlembagaan Ordinan Darurat adalah selaras dan memenuhi kehendak undang-undang untuk dilulus di peringkat Parlimen dan Dewan Negara sebelum diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan kemudian diwartakan.

Beliau berkata, inil adalah cara yang teratur dan memenuhi kehendak perlembagaan.

“Ini bukan soal teknikal yang dianggap kecil oleh setengah pihak dan bukan juga soal pembangkang mengkritik kerajaan, akan tetapi soal ia mengenepikan fungsi Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara yang menjadi salah satu prinsip utama dalam perundangan negara.

“Kami tidak melihat fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagai ‘rubber stamp’ hanya mengikut apa sahaja nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri jika yang dinasihatkan itu bercanggah dengan peruntukan perlembagaan dan tidak melalui proses perbahasan mengikut demokrasi berparlimen,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN