Pertumbuhan syarikat merupakan perkara yang penting jika ingin menjadi antara syarikat yang besar dan ternama dalam negara.
Justeru, Eatcosys, platform ekosistem teknologi untuk industri makanan dan minuman (F&B) menawarkan pelbagai penyelesaian dan servis untuk membantu perniagaan runcit dan pengusaha makanan dan minuman terus berkembang.
Ikuti temubual wartawan SHAFIQAH SHUKOR bersama Ketua Pegawai Operasi Eatcosys Sdn. Bhd., VINCENT KOK baru-baru ini, yang berkongsi tentang perkhidmatan yang ditawarkan bagi membantu memudahkan urusan pengusaha dalam industri F&B.
UTUSAN: Apakah inspirasi untuk memulakan Eatcosys?
VINCENT KOK: Ilham untuk Eatcosys tidak hadir secara tiba-tiba. Sejak 2014, kami bekerjasama dengan pengusaha dan pengeluar F&B untuk menjadi platform pemasaran dan penyelesaian untuk apa apa kesulitan yang boleh membantu rakan pengusahaan F&B di negara.
Lama kelamaan, saya dan Pengasas Bersama Eatcosys, Tham Lih Ching sedar kami perlu membina ekosistem yang boleh membantu perniagaan runcit dan pengusaha makanan dan minuman untuk terus berkembang. Kami berharap dapat membantu perniagaan usahawan kecil sehingga menjadi syarikat yang ternama.
Sepanjang tempoh itu, kami sendiri telah menghadapi pelbagai cabaran dari segi pengurusan perniagaan serta kewangan. Oleh itu, kami faham masalah-masalah yang perlu dilalui oleh kebanyakan organisasi dan kami ingin memudahkan perjalanan usahawan lain untuk membina dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri.
Sejak dulu, industri F&B memang dikenali sebagai salah satu perniagaan yang paling sukar untuk diceburi. Tambahan pula dengan pandemik Covid-19, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia menjadikan hal ini lebih mencabar.
Sebahagian pengusaha F&B tidak dibenarkan beroperasi dan bagi yang boleh terus beroperasi, mereka mengalami pengurangan pengunjung dan komisen hingga terpaksa memberi bayaran yang tinggi kepada platform-platform penghantaran makanan. Bukan itu sahaja, pengusaha juga perlu tetap membayar sewa dan gaji pekerja walaupun terdapat penurunan pendapatan yang drastik.
Misi kami adalah untuk membolehkan perniagaan di dalam industri berkembang dalam setiap aspek, dan ini merupakan dorongan terbesar kami.
Bagaimanakah perkembangan Eatcosys setakat ini? Sejauh mana Eatcosys dimanfaatkan dalam pasaran F&B di Malaysia?
Perjalanan Eatcosys ada naik turunnya. Setiap syarikat pasti menghadapi pelbagai cabaran. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Pada 2014 hingga 2017, ketika kami masih dalam peringkat sumber minimum (bootstrap), kami menghadapi cabaran untuk menunjukkan kredibiliti kami di mata pengguna dan para peniaga yang menggunakan platform ini. Selain itu, kami juga kekurangan sumber kewangan lantas perlu melakukan hampir semua perkara sendiri.
Sebaik sahaja kami berjaya mengumpul dana pertama pada 2017, kami terpaksa menyelesaikan masalah hak cipta kerana kami mendapati bahawa beberapa laman web telah meniru platform kami. Malah, satu daripada mereka menyalin kandungan kami, kata demi kata. Kemudian semasa kami berusaha untuk mengimbangkan pertumbuhan bisnes, terdapat pula masalah aliran tunai. Kami terpaksa bertahan menggunakan wang yang terhad.
Cabaran yang kami lalui sekarang adalah yang terbesar iaitu untuk memperluas servis tawaran kami ke pasaran F&B di Malaysia. Kami telah berjaya menghimpun pelbagai perkhidmatan. Namun, saya dan Lih Ching sering bertanya – bagaimana kita boleh menggabungkan kesemua perkhidmatan?
Adakah kami tidak mengukur baju di badan sendiri? Namun, kebanyakan syarikat yang menyertai kami merupakan syarikat yang pernah bekerjasama dengan kami sejak kami dikenali sebagai penyedia platform ruang acara dan tempahan menerusi VMO Rocks (VMO). Oleh itu, kerja kami menjadi mudah.
Bagaimanakah ia dapat membantu peniaga F&B daripada syarikat pemula hingga syarikat scale up?
Di Eatcosys, kami menawarkan penyelesaian yang berbeza bergantung kepada keperluan dan kemampuan para usahawan.
Sebagai contoh, kami mempunyai platform laman carian FoodAdvisor. Mana-mana pengusaha F&B, kecil atau besar boleh menyenaraikan perniagaan mereka di senarai popular kami. Bagi pengusaha yang ingin menyenaraikan perniagaan mereka di FoodAdvisor, bayaran yang dikenakan hanyalah RM18 sebulan.
Bagi pengusaha makanan, sekiranya mereka masih tidak mempunyai borang pesanan atas talian, kami juga ada menawarkan sistem pesanan dan pembayaran atas talian. Sekiranya mereka memerlukan khidmat penghantaran, kami juga boleh mengendalikan servis penghantaran untuk mereka.
Bagi pengusaha yang menawarkan khidmat katering, kami juga ada platform tempahan katering atas talian iaitu Feedmyguest. Selain itu, bagi pengusaha kafe atau restoran yang mempunyai ruang yang luas untuk mengambil tempahan majlis, mereka boleh menyenaraikannya di VMO, platform tempahan majlis.
Kami mempunyai penyelesaian yang lengkap untuk pengusaha F&B atau pedagang runcit yang mungkin memerlukan sistem untuk menjual dan menguruskan perniagaan mereka.
Secara tuntasnya, Eatcosys berharap dapat menjadi penyelesaian digital yang boleh meningkatkan pendapatan peniaga atau mengurangkan kos operasi mereka.
Sebagai peneraju ruang penyedia penyelesaian F&B, apakah sebab utama Eatcosys mendapatkan dana melalui platform pendanaan ekuiti ramai (ECF) berbanding pilihan lain?
Kami memutuskan untuk mendapatkan dana melalui ECF kerana ia akan memperluas jangkauan pelabur kami di dalam dan di luar Malaysia. Pada tahun 2017, kami mendapat sokongan yang baik ketika mengumpul dana untuk VMO melalui ECF. Pada tahun 2020, kami mendapat pengalaman yang sama semasa pusingan pengumpulan dana yang seterusnya untuk VMO (sebelum menjadi Eatcosys) .
Itu adalah keputusan semula jadi bagi kami untuk terus mengumpul dana melalui ECF untuk pratawaran awam permulaan (IPO) Eatcosys. Ia membolehkan pelabur runcit yang telah menyokong kami sejak awal lagi untuk mendapatkan faedah daripada IPO pada awal 2023, atau akhir 2022.
Melalui ECF, Eatcosys sedang menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM5 juta (sehingga akhir bulan Julai). Pada tahun 2017, VMO telah berjaya mengumpulkan RM0.5 juta dan RM2 juta pada tahun 2020.
Setakat ini, kami telah menerima maklum balas positif dan telah mendapatkan RM4 juta dalam bulan pertama kempen ini.
Adakah pertumbuhan Eatcosys sentiasa linear atau konsisten selama bertahun tahun? Bolehkah anda berkongsi kisah kejayaan atau statistik yang menarik?
Pertumbuhan kami sangat pesat. Servis kami kini berada di tujuh negara dengan lebih 20,000 peruncit di seluruh Asia Tenggara. Sebahagian besar operasi Eastcosys berpusat di Malaysia. Walaupun sekatan perjalanan dijalankan, kami berjaya mendapatkan perjanjian perniagaan di Indonesia.
Sebagai contoh, sewaktu pandemik, perniagaan peralatan dapur dalam talian telah meningkat dari sifar kepada lebih dari RM2 juta hanya dalam masa 12 bulan. Itu disebabkan oleh pemasaran yang agresif dan juga pengguna yang berada di rumah dan mempunyai lebih banyak masa untuk memasak di rumah.
Selain daripada sasaran untuk IPO tahun hadapan, apakah rancangan pada masa hadapan serta strategi seterusnya untuk Eatcosys?
Walaupun IPO merupakan pengesahan penting dalam perniagaan kami, ia bukan objektif utama kami. Ukuran kejayaan kami adalah berapa banyak peniaga yang dapat kami bantu untuk berkembang dari awal hingga berjaya menempa nama. Penyelesaian yang ditawarkan oleh Eatcosys berfungsi sebagai sistem sokongan untuk membantu pertumbuhan perniagaan.
Sebarang perkhidmatan tambahan yang kami perkenalkan atau mana-mana syarikat yang kami bawa ke dalam kumpulan ini akan sentiasa menuju ke arah matlamat itu. – UTUSAN ONLINE










