Niat nak bantu adik bayar sewa rumah RM12,000, rupa-rupanya ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Niat nak bantu adik bayar sewa rumah RM12,000, rupa-rupanya ditipu Macau Scam

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gara-gara membantu adik, seorang pelajar jurusan pentadbiran mengalami kerugian sehingga RM12,000 ditipu Macau Scam, semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berusia 24 tahun itu dihubungi adiknya yang meminta bantuan untuk membayar sewa tempat tinggal di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 25 Ogos lalu, lebih kurang pukul 3 petang, ketika mangsa sedang berehat di rumahnya di Mentakab, Temerloh bersama ibunya.

“Mangsa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada adiknya yang meminta wang sebanyak RM2,511 untuk bayaran sewa.

“Adik mangsa memaklumkan dia telah menerima panggilan daripada pengurus tempatnya bekerja yang meminta bayaran bagi tempat penginapan.

“Disebabkan desakan adiknya, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak tiga kali ke dalam akaun yang diberikan adiknya iaitu milik suspek Firdaus Faris Souvenir berjumlah RM6,847,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Wazir berkata, mangsa masih lagi didesak adiknya untuk membuat tambahan bayaran yang kononnya masih belum mencukupi.

“Sekitar pukul 4.50 petang adik mangsa masih lagi meminta wang dengan memberikan alasan yang sama.

“Lebih kurang pukul 5 petang ibu mangsa telah pergi ke bank Public Bank, Mentakab dan membantu mangsa untuk membuat pembayaran dengan memindahkan wang ke dalam akaun suspek yang sama berjumlah RN4,336,” katanya.

Tambah beliau, sekitar beberapa jam selepas transaksi terakhir mangsa dimaklumkan ibunya bahawa semua pemindahan wang dibuat bukan atas urusan penginapan namun adiknya terkena panggilan palsu Macau Scam.

“Mangsa segera ke Balai Polis Temerloh, semalam untuk membuat laporan polis untuk rujukan termasuk pihak bank. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN