PETALING JAYA: Negara memerlukan dasar dan strategi baharu dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 yang mesti melibatkan keseluruhan kerajaan dan masyarakat.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, ini memandangkan negara merekodkan lebih daripada satu juta kes Covid-19 secara keseluruhan.
Beliau juga mempersoalkan sama ada terdapat perkara yang akan menggembirakan semua rakyat menjelang sambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini ketika situasi pandemik dilihat suram manakala kes jangkitan dan kematian terus mencatatkan peningkatan mendadak.
“Kita sepatutnya beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas Hari Kemerdekaan dengan memenuhi tiga syarat iaitu kurang daripada 500 kes baharu Covid-19, jumlah katil unit rawatan rapi yang mencukupi dan 60 peratus populasi dewasa telah menerima vaksin.
“Namun, sejak pengumuman PPN pada 15 Jun 2021 lalu, negara tidak pernah mencapai syarat pertama iaitu kurang 4,000 kes harian menjelang hujung bulan Jun.
“Dari segi penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) pula, kadar pesakit masih lagi melebihi empat angka. Perkara ini pertama kali dicatatkan pada 26 Julai 2021, dengan jumlah kes aktif mencapai kemuncak baharu 262,713 kes semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kit Siang berkata, beliau bersedia untuk menggantung penilaiannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri membuktikan golongan yang mencetuskan sentimen pesimis tersilap.
Pada masa sama, katanya, ini bagi membuktikan beliau juga mampu mencipta keadaan konsensus kebangsaan baharu untuk membantu negara berdepan cabaran dihadapi bagi menyatukan semua rakyat sebagai satu Keluarga Malaysia seperti diumumkan Ismail Sabri, baru-baru ini.
“Ujian pertama kepada Ismail Sabri akan tiba apabila beliau mengumumkan senarai Kabinet dan tindakan-tindakan beliau sebelum undian pegangan majoriti beliau di Parlimen pada bulan hadapan,” katanya. – UTUSAN










